Program keusahawanan ‘Litar Rasa MADANI’ yang dianjurkan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) sempena acara berprestij Formula 1 (F1) Gulf Air Bahrain Grand Prix (GP) di Sepang International Circuit (SIC) mencatatkan kejayaan cemerlang apabila merekodkan jumlah keseluruhan jualan sebanyak RM555,350.00 sepanjang tiga hari penganjurannya.
Memetik kenyataan rasmi KUSKOP, program yang berlangsung dari 2 hingga 4 Oktober 2026 itu berjaya melepasi sasaran awal jualan RM500,000.00 dengan kadar pencapaian sebanyak 111.07 peratus.
Sambutan luar biasa turut dicatatkan melalui kehadiran seramai 19,000 pengunjung yang memberi sokongan padu kepada 40 usahawan mikro, penjaja, dan peniaga kecil tempatan.
Menurut laporan hasil jualan, prestasi jualan menunjukkan peningkatan mendadak setiap hari. Pada hari pertama (Jumaat), jumlah jualan merekodkan RM68,571.00 dengan kehadiran 2,000 pengunjung.
Angka tersebut meningkat pada hari kedua (Sabtu) kepada RM175,364.00 (7,000 pengunjung) dan meningkat tinggi pada hari terakhir (Ahad) dengan jualan sebanyak RM311,415.00 yang dihadiri 10,000 pengunjung.
KUSKOP menzahirkan rasa syukur dan penghargaan kepada orang ramai yang hadir memberi sokongan padu kepada usahawan tempatan.
Program Litar Rasa MADANI ini melibatkan kerjasama dan penyelarasan daripada pelbagai agensi di bawah KUSKOP serta agensi rakan strategik seperti TEKUN Nasional, Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM), Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV) dan Majlis Perbandaran Sepang (MP Sepang).
Purata perbelanjaan bagi setiap pengunjung direkodkan sebanyak RM29.20.
Inisiatif seperti ini dijangka akan terus diperkasa bagi menyokong kempen ‘Hebatkan Perniagaan Malaysia’ serta memperkukuh ekonomi usahawan tempatan.