Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) memperkenalkan logo rasmi baharu yang memuatkan tulisan Jawi sebagai langkah strategik memperkukuh identiti institusi, sekali gus memartabatkan warisan budaya bangsa.
Langkah ini dilaksanakan susulan kelulusan Mesyuarat Lembaga Pengarah Universiti Bil. 2 Tahun 2026 pada 21 Jun 2026.
Inisiatif berkenaan turut mendokong aspirasi kerajaan dalam memperkasakan penggunaan tulisan Jawi di peringkat pengajian tinggi bagi memelihara jati diri dan nilai sejarah negara.
Penerapan tulisan Jawi ini melangkaui pembaharuan visual; ia menjadi simbol penghargaan terhadap peradaban Melayu-Islam yang menyokong visi UTHM untuk kekal progresif tanpa membelakangkan akar tradisi.
“Sehubungan dengan itu, semua Pusat Tanggungjawab (PTj) diwajibkan menggunakan logo baharu bagi sebarang penyediaan bahan serta tempahan baharu.
“Bagi penggantian aset sedia ada, proses pelaksanaannya akan dibuat secara berfasa mengikut garis panduan yang telah ditetapkan,” petik kenyataan UTHM.