Satu projek kolaborasi sedang giat dijalankan antara Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) dan juga Aerospace Technology Systems Corporation (ATSC) bagi membangunkan bom latihan baharu yang dikenali sebagai projek ‘Development of New P50T Practice Bomb for Sukhoi 30 MKM Application’.

Projek ini bertujuan untuk melakukan proses rekayasa semula (reverse engineering) ke atas bom latihan yang pada asalnya dihasilkan oleh negara Rusia.

Melalui inisiatif ini, beberapa penambahbaikan telah dilaksanakan pada bahagian komponen dalaman dengan memfokuskan penggunaan komponen-komponen daripada pemasangan tempatan.

Proses ini melibatkan beberapa peringkat, di mana fasa rekayasa balik telah pun berjaya diselesaikan.

Projek ini kini berada dalam proses simulasi dan pemuktamadan reka bentuk mekanisme dalaman.

Data yang diperoleh daripada proses simulasi ini amat penting bagi membolehkan pasukan penyelidik menghasilkan reka bentuk akhir yang benar-benar menepati spesifikasi (satu nisbah satu) dengan reka bentuk asal.

Setelah fasa reka bentuk dan simulasi dimuktamadkan, pengilangan bom latihan ini akan dilakukan bersama rakan kolaborasi, iaitu pihak ATSC.

Ia kemudiannya akan dibekalkan secara terus kepada pihak Tentera Udara bagi kegunaan latihan yang melibatkan pesawat pejuang Sukhoi.

Selain memangkin keupayaan pembuatan tempatan, matlamat utama di sebalik projek ini adalah untuk melaksanakan langkah penjimatan kos yang signifikan.

Pembelian bom latihan secara terus dari Rusia adalah agak mahal dan dianggarkan menelan perbelanjaan sekitar RM30,000 hingga RM50,000.

Walau bagaimanapun, melalui pendekatan rekayasa balik dan penghasilan produk tempatan ini, kos tersebut berjaya dikurangkan dengan ketara kepada anggaran RM10,000 hingga RM20,000 sahaja.

Oleh hal yang demikian, penghasilan bom latihan tempatan ini merupakan satu langkah penjimatan dan perkhidmatan yang amat efisien.