Pengasas bersama dan pengarah urusan kumpulan Farm Fresh Bhd, Loi Tuan Ee, telah melupuskan saham bernilai RM132.5 juta dalam syarikat pengeluar tenusu itu melalui urus niaga perniagaan langsung.

Menurut pemakluman kepada bursa pada Khamis (11 Dis), Loi menjual 50 juta saham bersamaan 2.66% daripada modal saham terbitan Farm Fresh melalui Rainforest Capital Sdn Bhd dan Farmchoice Foods Sdn Bhd, petik The Edge Malaysia.

Data urus niaga pasaran luar menunjukkan blok saham tersebut diperdagangkan pada harga RM2.65 sesaham pada 9 Disember.

Ini merupakan penjualan tunggal terbesar Loi di pasaran terbuka sejak penyenaraian Farm Fresh pada Mac 2022.

Kali terakhir beliau menjual blok besar saham Farm Fresh adalah pada Mei 2024, membabitkan 46.81 juta saham atau 2.5% pegangan ketika itu, bernilai RM66.47 juta.

Selepas pelupusan pegangan ini, Loi kekal sebagai pemegang saham terbesar Farm Fresh dengan pegangan 37.42% atau 703.14 juta saham.

Penjualan saham ini berlaku susulan harga saham Farm Fresh mencecah paras tertinggi baharu RM2.95 pada 4 Disember, dipacu oleh prestasi kukuh kumpulan bagi suku kedua berakhir 30 Sept 2025.

Untuk tempoh tersebut, kumpulan mencatat keuntungan bersih suku tahunan tertinggi dalam sejarahnya sebanyak RM36.66 juta, meningkat 40% berbanding RM26.18 juta tahun lalu.