Baru baru ini heboh di platform X tentang kisah Lottie Cullen yang merupakan perenang handalan Ireland telah mendedahkan kisah dia ditolak oleh Malaysia.

Akibat kecewa berkali kali gagal pasport untuk mwakili Malaysia, peranang wanita itu akhirnya memutuskan mewakil Ireland.

Ia sepatutnya menjadi kisah kejayaan baharu buat sukan renang wanita Malaysia. Namun kini Cullen telah menjadi satu bakat yang dimanfaatkan oleh Ireland.

Perenang backstroke Ireland, Lottie Cullen, kembali ke Kuala Lumpur minggu ini dan terus mencuri perhatian apabila menjuarai acara 200 meter backstroke wanita dengan catatan 2:14.47 pada Kejohanan Renang Jemputan Kumpulan Umur Malaysia di Pusat Akuatik Nasional, Bukit Jalil, Khamis lalu.

Menariknya, Cullen bertanding mewakili negeri asal ibunya, Perak, dan menang dengan penuh bergaya dalam kategori Terbuka 19 tahun ke atas.

Perenang Malaysia, Chong Xin Lin, terpaksa berpuas hati di tempat kedua dengan masa 2:24.05, manakala Palak Ashutosh dari India melengkapkan podium dengan 2:25.56.

Lebih mencuri tumpuan, masa yang dicatat Cullen sebenarnya sudah cukup untuk menghadiahkan pingat emas di Sukan SEA Thailand, di mana perenang tuan rumah, Mia Millar, memenangi acara sama dengan masa 2:14.95.

Dari Ipoh ke pentas dunia

Walaupun dilahirkan di luar negara, Cullen dibesarkan di Ipoh sebelum berhijrah ke Ireland pada usia 10 tahun.

Beliau mendedahkan bahawa suatu ketika dahulu, impiannya adalah untuk mewakili Malaysia di peringkat antarabangsa.

Dipetik daripada laporan Says, Cullen berkata: “Sewaktu kecil, saya memang sangat mahu mewakili Malaysia. Ibu saya berasal dari Ipoh, tetapi saya lahir di luar negara.

“Kami cuba beberapa kali untuk mendapatkan pasport Malaysia, namun ia agak sukar ketika itu.”

Namun, apabila kariernya berkembang di Ireland, identiti sukannya juga berubah. Cullen mengakui dia mula ‘berasa lebih Irish’ sebagai seorang atlet berbanding Malaysia.

Bersinar bersama Ireland

Kini, nama Lottie Cullen semakin kukuh dalam arena renang Eropah.

Beliau memegang rekod kebangsaan Ireland bagi acara 100 meter backstroke kategori kolam pendek dengan masa 56.96 saat, selain pernah memenangi pingat emas acara 50m dan 100m backstroke di Kejohanan BUCS (British Universities and Colleges Sport).

Lottie Cullen
Foto: Instagram Lottie Cullen

Di peringkat dunia, Cullen menamatkan saingan di tempat ke-13 acara 200 meter backstroke wanita pada Kejohanan Dunia Renang Kolam Pendek 2024 di Budapest, dengan catatan 2:05.57 — sekali gus muncul perenang kedua terpantas dalam sejarah Ireland bagi acara tersebut.

Masih dekat dengan Malaysia

Walaupun kini beraksi di pentas antarabangsa bersama Ireland, Cullen menegaskan hubungannya dengan Malaysia tidak pernah pudar.

Beliau menyifatkan komuniti renang tempatan sebagai sangat mesra dan mengakui sering meluangkan masa bersama perenang Malaysia, termasuk ketika Sukan Universiti Dunia Rhine-Ruhr 2025.

Di luar kolam, kerinduan terhadap Malaysia jelas terasa — terutamanya soal makanan. Pelajar akaun di Universiti Ulster, Belfast itu mengakui roti canai adalah ‘menu wajib’ setiap pagi sepanjang berada di Kuala Lumpur, selain char kway teow dan wan tan mee.

Sasaran Lottie Cullen

Kini, fokus Lottie Cullen terarah kepada masa depan bersama Ireland. Sasaran terdekatnya adalah Sukan Komanwel dan Sukan Eropah musim panas ini, sebelum mengalihkan tumpuan sepenuhnya ke Sukan Olimpik Los Angeles 2028.

“Saya perlahan-lahan memperbaiki catatan masa. Harapnya saya dapat melayakkan diri di kejohanan pemilihan kebangsaan pada April 2028,” katanya yang sentiasa meletakkan Malaysia di dalam lubuk hatinya.