Industri peruncitan negara menyaksikan anjakan besar apabila CP Axtra Public Company Limited (CP Axtra), syarikat induk kepada Lotus’s Stores (Malaysia) Sdn. Bhd., secara rasmi mengumumkan pengambilalihan sepenuhnya ke atas The Food Purveyor Sdn. Bhd. (TFP).

Urus niaga strategik yang bernilai kira-kira RM1.66 bilion (12.8 bilion Baht) itu melibatkan pembelian 100 peratus pegangan saham dalam TFP, petik The Edge Malaysia.

Baca Juga:

Langkah ini sekali gus meletakkan Lotus’s Malaysia sebagai antara peneraju utama dalam segmen pasar raya premium di Malaysia.

Pengukuhan Portfolio Peruncitan
Lotus's Malaysia Masuk 'Kawasan Elit', Ambil Alih Village Grocer, Empat Jenama Lain Pada RM1.6 Bilion
Sumber Gambar: The Food Purveyor

Melalui pengambilalihan ini, Lotus’s Malaysia kini memegang hak milik ke atas lima jenama terkemuka di bawah naungan TFP, iaitu:

1. Village Grocer

2. Ben’s Independent Grocer (B.I.G.)

3. BSC Fine Foods

4. OTK Pasaraya

5. The Food Merchant

Sebab CP Axtra berminat dengan TFP
Lotus's Malaysia Masuk 'Kawasan Elit', Ambil Alih Village Grocer, Empat Jenama Lain Pada RM1.6 Bilion
Sumber Gambar: CP Axtra

CP Axtra menyatakan bahawa pihaknya tertarik kepada The Food Purveyor disebabkan aksesnya ke lokasi-lokasi yang sukar dicapai oleh rangkaian Lotus’s, serta pertumbuhan pasaran runcit premium di Malaysia.

“Melalui pengambilalihan ini, kami melangkaui halangan kemasukan ke lokasi-lokasi utama yang berpendapatan tinggi di bandar yang sebelum ini telah dikuasai oleh pemain industri sedia ada, sekali gus memperoleh akses segera ke lokasi strategik dengan trafik pelanggan yang tinggi,” kata syarikat itu dalam pembentangan mengenai pengambilalihan tersebut.

CP Axtra turut menyatakan terdapat potensi keuntungan tambahan daripada skala operasi yang lebih besar, termasuklah pengoptimuman perolehan, pengedaran berpusat, pecutan pelbagai saluran (omni-channel), pengembangan jenama sendiri (private label), kecekapan kos, serta peluang jualan silang merentasi platform gabungan tersebut.

Untuk rekod, The Food Purveyor memiliki 34 cawangan Village Grocer, enam pasar raya Ben’s Independent Grocer, enam premis ultra-premium The Food Merchant, sebuah cawangan BSC Fine Foods, dan tiga pasar raya tradisional Pasaraya OTK.