Salah seorang pengurus ternama di Eropah iaitu Louis van Gaal menjadi salah satu calon bagi menggantikan Shin Tae-yong sebagai ketua jurulatih skuad kebangsaan Indonesia.

Baru-baru ini, Persatuan Bola Sepak Seluruh Indonesia (PSSI) mengambil keputusan untuk menamatkan kontrak Tae-yong sebagai ketua jurulatih skuad senior dan B-23 Tahun selepas membuat pertimbangan mengenai prestasi semasa dan juga sasaran yang mahu dicapai badan itu.

Baca Juga:

PSSI membuat pengumuman menerusi laman media sosial rasmi mereka yang mana badan itu mengucapkan terima kasih atas jasa dan sumbangan bekas pengendali Korea Selatan itu.

Menurut perkongsian beberapa media negara seberang, PSSI akan mengadakan pertemuan dengan Louis van Gaal dalam masa terdekat dan posisi sebagai pengendali baharu pasukan diramal menjadi topik perbincangan dalam perjumpaan tersebut.

Ada ramai pemain kacukan atau naturalisasi yang mempunyai pertalian dengan Belanda dan ini merupakan salah satu sebab mengapa nama van Gaal menjadi calon utama bagi menggantikan Tae-yong.

Nama van Gaal sudah tidak asing lagi dalam saingan bola sepak Eropah dimana beliau pernah membimbing beberapa kelab ternama seperti Barcelona, Ajax Amsterdam, Bayern Munich, Manchester United dan juga skuad kebangsaan Belanda.

Pengurus berusia 73 tahun itu memenangi beberapa kejuaraan utama dalam kariernya seperti Bundesliga, La Liga, Eredivisie, Piala FA England dan Liga Juara-Juara Eropah (UCL).

Bersama skuad kebangsaan Belanda, van Gaal membimbing pasukan itu sebanyak tiga kali dan membawa Belanda dalam dua temasya Piala Dunia pada edisi 2014 dan 2022.