Menteri Pengangkutan, Loke Siew Fook menyatakan pihak Kerajaan tidak akan mempertimbangkan cadangan membina laluan transit aliran ringan (LRT) dan transit aliran massa (MRT) dari tanah besar ke Pulau Langkawi.
Menurut beliau cadangan membina laluan rel rentas laut itu sebagai ‘tidak masuk akal’.
Baca Juga:
- Stesen LRT Bakal Dibina Di Pulau Langkawi

- Langkawi Cadang Bina MRT Dari Alor Star Ke Kuah

- Langkawi Dipilih Antara Pulau Terbaik Di Asia, Setaraf Bali Dan Phuket

Ini kerana kos amat tinggi dan jarak yang jauh; Kuala Kedah-Langkawi adalah kira-kira 50km. Sementara dari Kuala Perlis-Kuah sekitar 30km, petik Free Malaysia Today.
“Nak buat LRT dari Kuala Kedah atau Kuala Perlis ke Langkawi itu tidak begitu masuk akal.
“Bayangkan nak bina jambatan rel sepanjang 30km dari Kuala Perlis ke Langkawi, itu sudah tentu memerlukan perbelanjaan besar,” katanya ketika menggulung perbahasan usul Rancangan Malaysia ke-13 (RMK13).
Pada masa sama, Anthony Loke menyatakan pihak kerajaan akan menambah baik kemudahan pengangkutan laut dari jeti Kuala Kedah dan Kuala Perlis ke Langkawi.
“Kita ada cadangan lain untuk meningkatkan kesalinghubungan antara Kuala Kedah, Kuala Perlis dan Langkawi. Antaranya, kita sedang meneliti pengenalan feri yang lebih moden dan selesa untuk tujuan tersebut,” katanya.
Suhaimi Abdullah (PN–Langkawi) di Dewan Rakyat minggu lalu sekali lagi mencadangkan pembinaan laluan LRT atau MRT ke Langkawi, selepas cadangan awal pada 19 Sept 2023 ditolak Loke.