Patah kaki. Itu harga yang perlu dibayar oleh seorang pemain amatur ketika bermain bola sepak dalam satu kejohanan kampung di Jeram Landak, Pahang baru-baru ini.
Menurut perkongsian pengguna Facebook iaitu Lipis Fighter, pemain tersebut dikenali sebagai Alif Akhirizaman berusia 27 tahun dan mengalami kecederaan patah kaki selepas lutut pertahanan lawan berlaga dengan keting beliau.
Alif ketika ini mendapat rawatan di Hospital Kuala Lipis dan beliau bakal menjalani pembedahan selepas mangsa mengadu tidak dapat merasai kaki selepas mengalami kecederaan itu.

“Menurut pihak hospital, Khamis ini, Alif perlu menjalani pembedahan kerana kecederaannya dikhuatiri terkait dengan fungsi saraf.
“Ini selepas Alif mengadu ‘tidak rasa’ kakinya yang patah, tetapi sekiranya keadaannya lebih teruk daripada itu, mungkin pembedahan kecemasan akan dijadualkan lebih awal dari Khamis (minggu ini),” katanya menurut laporan Majoriti.
Kejadian ini viral di laman media sosial dan peminat bola sepak tanah air mengutuk tindakan yang dilakukan oleh pemain itu sehingga menyebabkan Alif mengalami patah tulang kaki.
Ramai juga yang menggelar pemain yang menerjah sebagai tiada otak dan hanya tahu menggunakan kekerasan ketika bermain bola sepak.
Dalam masa yang sama, pihak lawan yang menerjah Alif ada menghubungi untuk melawat mangsa tetapi keluarga belum bersedia buat masa ini dan mahu tempoh bertenang.
“Individu berkenaan ada WhatsApp lebih awal dan minta kebenaran untuk melawat tapi keluarga tak beri izin lagi. Pihak keluarga mahu beri tempoh bertenang buat Alif.
“Pihak Alif sendiri pun sudah reda dengan perkara yang berlaku, (mereka berasa) ralat tapi itulah ketentuannya,” jelasnya.
Insiden yang berlaku kepada Alif itu juga mendapat perhatian Ahli Parlimen Cameron Highland, Datuk Dr. Ramli Mohd Nor yang telah menghubungi keluarga mangsa.