Kelab legenda Perancis dan juga salah satu kelab bersejarah di dunia, Olympique Lyonnais telah disingkirkan ke saingan Ligue 2.
Ianya bukan disebabkan prestasi di atas padang, tetapi kerana faktor perundangan, akibat kegagalan menguruskan kewangan dengan baik.
🔴🔵 Some Lyon players over the years… now they could be in Ligue 2 next season. 🙁 pic.twitter.com/BcCIfHALVt
— EuroFoot (@eurofootcom) June 25, 2025
Keputusan drastik itu diumumkan oleh pihak berkuasa bola sepak Perancis yang mendapati Lyon tidak mematuhi piawaian kewangan yang ditetapkan.
Masalah tersebut telah hangat dibincangkan sejak musim lalu lagi. Ketika itu bintang Lyon seperti Rayan Cherki sudah memberitahu kelab bahawa dia mahu keluar dan minta dijual kerana merasakan kelab dalam masalah.
Lembaga kawalan kewangan kelab profesional Perancis (DNCG) menyatakan bahawa kelab itu menghadapi defisit kewangan yang besar dan gagal mengemukakan pelan pemulihan yang meyakinkan.
Lyon, yang menamatkan saingan Ligue 1 musim lalu di kedudukan ke-6, masih mempunyai peluang untuk membuat rayuan terhadap keputusan tersebut.
🚨 OFFICIAL: Olympique Lyon have been relegated to Ligue 2.
The club has the possibility to appeal the decision. pic.twitter.com/T4UKbqYQBV
— Fabrizio Romano (@FabrizioRomano) June 24, 2025
Namun, sekiranya rayuan itu gagal, tempat mereka di Ligue 1 akan diisi oleh kelab Stade de Reims, yang sebelum ini tewas dalam perlawanan play-off promosi kepada Metz.
Pemilik kelab, John Textor, menerima kecaman hebat daripada penyokong dan pemerhati bola sepak kerana didakwa gagal mengambil langkah awal untuk menyelesaikan masalah kewangan yang sudah diketahui sejak sekian lama.
Menurut laporan, Textor dikatakan berdepan krisis kewangan yang turut menjejaskan operasi kelab.
Reaksi dalam kalangan komuniti bola sepak juga pelbagai, dengan ada yang memuji ketegasan pihak berkuasa Perancis, berbanding liga lain seperti Liga Perdana Inggeris yang dikatakan tidak berani mengambil langkah serupa terhadap kelab besar.
Keputusan ini menjadi tamparan hebat buat Lyon, yang pernah mendominasi bola sepak Perancis pada awal 2000-an dengan menjuarai tujuh kejuaraan Ligue 1 berturut-turut.
Kini, masa depan kelab bergantung kepada keputusan rayuan serta kemampuan mereka merombak struktur kewangan untuk kekal bersaing di peringkat tertinggi.