Karim Benzema semakin hampir untuk kembali ke Lyon pada musim panas ini apabila sanggup beraksi untuk kelab masa kecilnya itu tanpa menerima gaji.
Pemenang Ballon d’Or 2022 itu begitu teruja untuk kembali ke Groupama Stadium sebelum halangan kontrak yang rumit akhirnya menggagalkan perpindahan tersebut.
Menurut sumber laporan Goal, pengurusan Lyon menghubungi penyerang itu untuk mengetahui minatnya kembali beraksi di Ligue 1. Namun, kesediaannya untuk mengetepikan soal kewangan masih tidak mencukupi untuk mengatasi kerumitan undang-undang berkaitan situasinya di Riyadh.
Ini Sebab Perpindahan Benzema Ke Lyon Gagal
Komitmen jangka panjang Benzema terhadap projek bola sepak Arab Saudi akhirnya menjadi penghalang utama kepada kepulangannya.
Penyerang itu kini terikat dengan kontrak komersial dan duta bernilai besar yang berlangsung sehingga 2030, dengan tanggungjawab mempromosikan Saudi Pro League serta kepentingan sukan Arab Saudi di seluruh dunia.
Dana Pelaburan Awam Arab Saudi (PIF) pula mempunyai polisi ketat terhadap aset berprofil tinggi seperti Benzema bagi memastikan tanggungjawab berkaitan hak imej dipenuhi selain menghadiri acara-acara rasmi.
Kem Benzema dilaporkan telah mencari jalan untuk mengimbangi kedua-dua peranan tersebut, namun tuntutan untuk beraksi di saingan tertinggi Perancis dilihat tidak serasi dengan jadual perjalanan serta penampilan yang diperlukan menerusi tanggungjawabnya di Arab Saudi.
“Agak sukar untuk berkata, ‘Saya mahu kembali ke sana’, kerana saya sudah meninggalkan kenangan yang begitu indah… Anda tidak pernah tahu apa yang akan berlaku. Ia bukan kerana takut untuk kembali. Cuma, kadangkala lebih baik untuk meninggalkan sesuatu sebagai kenangan,” kata Benzema sebelum ini.
Tempoh Benzema di ibu negara Arab Saudi itu berakhir beberapa hari lalu. Al-Hilal mengesahkan bahawa mereka telah mencapai persetujuan untuk berpisah dengan pemain Perancis berkenaan.
Perpisahan itu berlaku selepas tempoh yang menyaksikan ketegangan dengan pengurus, Simone Inzaghi yang dilaporkan mahu menggunakan pemain lebih muda dan dinamik sebagai tonggak utama serangannya.
Antara faktor utama yang mendorong kepada keputusan tersebut ialah langkah agresif kelab dalam pasaran perpindahan, khususnya selepas mereka menandatangani Ollie Watkins dari Aston Villa.
Kehadiran pemain antarabangsa England itu untuk mengisi posisi utama menyaksikan peranan Benzema dalam pasukan semakin tidak diperlukan.