Kecoh di media sosial baru-baru ini apabila satu keratan video ucapan seorang aktivis Rohingya, Noor Azizah, kembali tular.

Mana tidaknya, ucapan yang disampaikan ketika beliau menerima Anugerah Marie Claire Women of the Year bagi kategori Voice of Now 2025 di Australia itu telah mengundang rasa kurang senang dalam kalangan warga netizen Malaysia.

Walaupun majlis tersebut sebenarnya berlangsung pada November tahun lalu, video berdurasi satu minit 18 saat yang tular di platform Threads itu nampaknya benar-benar memancing emosi orang ramai yang menyifatkan beliau seperti tidak mengenang budi.

Apa Yang “Panas” Sangat Dalam Ucapan Tu?

Dalam ucapan tersebut, Noor Azizah yang kini menetap di Australia secara terbuka mengkritik cara negara-negara Asia Tenggara, terutamanya Malaysia, melayan pelarian Rohingya.

Beliau membandingkan keindahan negara-negara ini sebagai destinasi pelancongan dengan realiti pahit yang dihadapi oleh komunitinya.

Menurut Noor Azizah: “Selepas kami melarikan diri dari Myanmar, keganasan terus mengekori kami. Anda mungkin mengenali Malaysia, Indonesia dan Thailand sebagai destinasi percutian untuk anda dan keluarga.

“Namun di Malaysia hari ini, lebih 2,000 kanak-kanak Rohingya dikurung di pusat tahanan imigresen, membesar di sebalik jeriji besi dan bukannya di dalam bilik darjah.”

Bukan setakat Malaysia, beliau turut “memetik” situasi di negara jiran yang lain. Beliau menambah:

“Di Indonesia, ucapan kebencian, maklumat palsu dan disinformasi membanjiri media sosial, manakala di Thailand sindiket pemerdagangan manusia memperdayakan tubuh Rohingya seperti mata wang.”

“Macam Kacang Lupakan Kulit” – Netizen Mula Bersuara

Tindakan Noor Azizah yang memilih untuk mengkritik Malaysia di pentas antarabangsa itu ternyata mengundang kecaman hebat.

Rata-rata netizen berpandangan bahawa kenyataan tersebut agak keterlaluan dan tidak menghargai segala bantuan, perlindungan, serta ruang hidup yang telah diberikan oleh Malaysia kepada etnik berkenaan selama ini.

Seorang pengguna media sosial, meluahkan rasa terkilan dengan sikap aktivis tersebut yang dianggap tidak bersyukur.

“Dia berlindung di Malaysia dan mendapat peluang kedua, tetapi memilih untuk mengkritik negara yang memberi perlindungan kepada rakyatnya,” tulisnya.

Pandangan itu turut disokong oleh ramai pengguna lain yang merasakan Malaysia sering menjadi “mangsa keadaan” dalam isu kemanusiaan ini, walaupun negara sendiri mempunyai had dan undang-undang domestik yang perlu dipatuhi.

Selain isu “tidak mengenang budi”, netizen turut mempersoalkan fokus utama perjuangan Noor Azizah. Mengapa negara-negara yang memberi perlindungan pula yang menjadi sasaran kritikan hebat, dan bukannya punca utama krisis tersebut?

Seorang lagi pengguna Threads, mempersoalkan mengapa pentas sebesar itu tidak digunakan untuk menghentam pihak yang sepatutnya bertanggungjawab.

“Dia sepatutnya menggunakan pentas yang diberikan untuk mengecam kekejaman Junta Myanmar dan bukannya menumpukan kritikan terhadap negara-negara ASEAN yang menerima pelarian Rohingya,” katanya dengan tegas.

Pendapat ini dipersetujui oleh ramai dan berpendapat bahawa Noor Azizah sepatutnya lebih fokus kepada perjuangan menuntut hak etnik Rohingya di tanah air asal mereka di Myanmar, bukannya menuding jari kepada negara yang pernah membuka pintu dan memberi sinar harapan baharu kepada mereka.

Isu pelarian ini sememangnya satu topik yang sangat sensitif dan kompleks.

Di satu pihak, aktivis melihatnya dari sudut hak asasi dan kebajikan kanak-kanak, manakala di pihak masyarakat tempatan, faktor keselamatan, undang-undang negara, dan rasa dihargai sebagai tuan rumah juga amat penting.

Apa-pun, tindakan membawa naratif negatif tentang negara luar di pentas global pastinya akan sentiasa mengundang perdebatan yang panjang.