Seorang lelaki berusia 49 tahun dianugerahkan RM720,000 oleh Mahkamah Sesyen Johor Baru atas ganti rugi dan kecederaan yang dialami selepas motosikalnya merempuh jalan berlubang berhampiran Taman Kota Masai tiga tahun lalu.

Hakim Sazlina Safie membuat keputusan itu selepas mendapati Razali@Mohd Leey Subeh selaku plaintif berjaya membuktikan tuntutannya terhadap Safwa Global Venture (M) Sdn Bhd, syarikat yang dilantik kerajaan negeri untuk menyelenggara jalan tersebut, lapor New Straits Times.

Baca Juga:

Pada 11 Feb 2021, Razali dalam perjalanan dari Taman Cendana ke Taman Kota Masai kira-kira jam 10 malam, apabila dia melanggar lubang di permukaan jalan mengakibatkan terjatuh dan cedera.

Beliau memfailkan saman terhadap kedua-dua syarikat dan kerajaan negeri sebagai responden pertama dan kedua, masing-masing atas kecederaan dan kerosakan yang dialaminya akibat kejadian itu.

Pada 16 Mei 2022, plaintif telah menarik balik saman terhadap responden kedua (kerajaan negeri), manakala defendan pertama gagal membawa mana-mana pihak ketiga ke dalam tuntutan mahkamah ini.

Hakim berkata syarikat itu juga gagal memfailkan sebarang hujah bertulis atau lisan walaupun beberapa kali penangguhan.

Sazlina dalam penghakimannya berkata plaintif berjaya membuktikan kesnya atas imbangan kebarangkalian dan syarikat itu cuai sepenuhnya dalam kemalangan ini.

“Mahkamah boleh membuat kesimpulan bahawa dari tarikh kejadian (11 Feb 2021) sehingga kerja-kerja penggalian pada 29 Sept 2022, lubang itu kekal di tempat kejadian tanpa sebarang pembaikan, seperti yang diakui oleh semua saksi.

“Mahkamah mendapati isu jalan berlubang di tempat kejadian telah dibuktikan dan diakui oleh defendan.

“Syarikat itu juga mengemukakan kenyataan bercanggah dalam pembelaan mereka apabila mereka pada mulanya mendakwa bahawa mereka tidak melihat sebarang jalan berlubang, tetapi kemudian menemui jalan berlubang yang disebabkan oleh kerja-kerja kemudahan awam,” katanya dalam alasan penghakiman yang disiarkan di laman web kehakiman semalam .

Memetik laporan itu lagi, Mahkamah berkata syarikat itu berhujah bahawa lubang itu bukan tanggungjawab mereka kerana ia milik syarikat utiliti dan sepatutnya diselenggara oleh subkontraktor atau pihak lain.

“Walaupun dakwaan ini, syarikat gagal untuk memulakan sebarang prosiding pihak ketiga terhadap mana-mana kontraktor atau pihak yang berkaitan dalam saman ini.”

Mahkamah juga mendapati adalah munasabah Razali gagal menyedari jalan berlubang berikutan jarak penglihatan yang terhad dan pencahayaan yang tidak mencukupi di kawasan perumahan.

“Justeru, saya percaya defendan telah gagal menjalankan tugas menyelenggara jalan tersebut, dan mereka bertanggungjawab kepada plaintif mengikut Seksyen 7(3) Akta Prosiding Kerajaan (GPA).

“Walaupun kes ini merujuk kepada kerajaan dan GPA, ia adalah prinsip asas yang mesti diterapkan kepada pihak yang bertanggungjawab bagi memastikan jalan yang disediakan selamat untuk pengguna,” katanya.

Mahkamah menganugerahkan plaintif RM352,947.33 untuk ganti rugi khas dan RM368,000 untuk ganti rugi am.

Syarikat itu merayu penghakiman itu ke Mahkamah Tinggi.