Mahkamah Persekutuan hari ini menolak permohonan Kerajaan Kedah untuk mendapatkan kebenaran merayu terhadap keputusan Mahkamah Rayuan berhubung isu pengeluaran dan pembaharuan lesen perjudian.
Sebelum ini kerajaan Kedah cuba hentikan pengeluaran atau pembaharuan lesen perjudian di negeri itu, tetapi mahkamah memutuskan kerajaan negeri tidak mempunyai kuasa untuk berbuat demikian.
Ini kerana isu lesen perjudian berada di bawah bidang kuasa kerajaan Persekutuan, bukan kerajaan negeri.
Jadi apabila Kerajaan Kedah mengarahkan supaya lesen perjudian tidak dikeluarkan atau diperbaharui, mahkamah memutuskan arahan itu “ultra vires” — maksudnya, ia melebihi atau di luar kuasa undang-undang yang diberikan kepada kerajaan negeri.
Pada 12 Disember tahun lalu, Mahkamah Rayuan menerusi keputusan majoriti 2-1 mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi Alor Setar yang mendapati arahan kerajaan negeri berhubung perkara itu adalah tidak berperlembagaan.
Dipetik daripada sumber Buletn TV3, Dalam prosiding hari ini, panel tiga hakim Mahkamah Persekutuan yang dipengerusikan Datuk Rhodzariah Bujang sebulat suara menolak permohonan kebenaran merayu tersebut.
Panel turut dianggotai hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Collin Lawrence Sequerah dan Datuk Azmi Ariffin.
Panel memutuskan permohonan berkenaan tidak memenuhi kehendak Seksyen 96(a) Akta Mahkamah Kehakiman 1964 bagi membolehkan kebenaran merayu diberikan.
Oleh itu, keputusan Mahkamah Rayuan kekal dan Kerajaan Kedah juga diarahkan membayar RM50,000 kos mahkamah.