Mahkamah Tinggi di sini hari ini memerintahkan kerajaan memulangkan 172 jam tangan Swatch, termasuk siri Pride Collection, yang dirampas oleh pegawai Kementerian Dalam Negeri (KDN) tahun lepas.
Memetik FMT, Hakim, Datuk Amarjeet Singh berkata, KDN melanggar undang-undang ketika melakukan rampasan dan mengarahkan kerajaan memulangkannya dalam tempoh 14 hari bermula hari ini.
Malah, beliau tampil membatalkan notis penyitaan terhadap Swatch Malaysia selepas membenarkan perintah certiorari yang dipohon oleh syarikat berkenaan.
Amarjeet berkata demikian selepas membenarkan semakan kehakiman yang dikemukakan syarikat pengimport dan penjual jam tangan itu pada Ogos tahun lalu.
Pada tahun lalu, pegawai penguat kuasa KDN merampas jam tangan terbabit, termasuk daripada ‘Pride Collection’ yang menampilkan jam tangan warna pelangi, antara 13 dan 15 Mei.
Difahamkan rampasan dibuat menerusi serbuan di 11 kedai Swatch di Pavilion KL, 1 Utama, Suria Sabah, Mid Valley Megamall dan Sunway Pyramid.
Serbuan itu dilaporkan berlaku selepas netizen mengaitkan koleksi itu dengan sokongan kumpulan rock British, Coldplay terhadap LGBT.
Susulan insiden rampasan itu, Swatch Malaysia memfailkan semakan kehakiman pada Ogos 2023 untuk mencabar tindakan kerajaan.
Pembuat jam tangan Switzerland itu mendakwa rampasan terbabit menyalahi undang-undang kerana jam tangan berkenaan tidak ditakrifkan sebagai satu bentuk ‘penerbitan’ di bawah Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984.
Dalam pada itu, Amarjeet berkata perintah larangan jam tangan itu hanya dikeluarkan dan diwartakan pada Ogos 2023, selepas rampasan pada Mei.
Tambahnya lagi, pemohon (Swatch) tidak melanggar mana-mana undang-undang semasa rampasan.
Walaupun mahkamah tidak memberikan perintah ganti rugi sebanyak RM64,795, hakim berkenaan berkata Swatch boleh memohon ganti rugi jika jam tangan itu didapati rosak.
Dalam perkembangan lain, Kementerian Dalam Negeri (KDN) menghormati keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur untuk memulangkan 172 jam tangan Swatch dari siri Pride Collection yang dirampas tahun lalu.