Mahkamah Tinggi di sini, hari ini diberitahu Syarikat Semarak Konsortium Satu Sdn Bhd menerima pembayaran daripada Datuk Seri Najib Razak sebanyak RM23 juta melalui 39 keping cek yang diserahkan sendiri bekas perdana menteri itu di Pejabat Perdana Menteri (PMO) setiap bulan selama tiga tahun.

Bayaran itu adalah bagi perkhidmatan pasukan media antarabangsa dan penulis ucapan bahasa Inggeris untuk Najib.

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

Baca Juga:

Pengarah Semarak Konsortium, Datuk Mohd Omar Mustapha, 51, memberitahu beliau sendiri berjumpa dengan Najib untuk menerima cek berkenaan di PMO di antara 3 Mac 2011 dan 23 April 2014.

Saksi ke-45 pendakwaan itu berkata demikian semasa perbicaraan rasuah 1Malaysia Development Berhad (1MDB) membabitkan penyelewengan bernilai RM2.28 bilion terhadap Najib, di sini, hari ini.

Mohd Omar berkata, cek yang diterimanya secara bulanan daripada bekas perdana menteri itu bagaimanapun tidak dinamakan tetapi ditandatangani sendiri oleh Najib di hadapannya.

Menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Akram Gharib pada sesi pemeriksaan semula, berkata beliau tidak boleh mengesahkan sama ada cek itu dibayar daripada akaun peribadi Najib kerana tiada nama pembayar pada cek terbabit.

Ditanya berapa jumlah yang diterima secara bulanan, saksi itu menjawab, “enam angka”.

Sumber Gambar: Harian Metro

Mohd Omar berkata, beliau berjumpa dengan Najib di pejabat Perdana Menteri pada Mac 2011 untuk menawarkan perkhidmatan pasukan media antarabangsa dan penulis ucapan bahasa Inggeris kepadanya.

Beliau berkata, dalam perbincangan itu beliau menawarkan perkhidmatan secara kos dahulu (reimburse) di mana setiap bulan akan mengemukakan tuntutan kos kepadanya untuk dibayar dan Najib bersetuju dengan cadangan perkhidmatan berkenaan.

Saksi itu berkata, beliau tidak meminta sebarang kontrak ditandatangani untuk perkhidmatan itu dan Najib juga tidak meminta sebarang kontrak daripadanya — hanya membabitkan perjanjian lisan sahaja.

Sumber Gambar: Berita Harian

“Oleh kerana isu ini kemungkinan besar boleh dipolitikkan, saya percaya Najib boleh mempercayai saya dalam urusan ini kerana saya pernah bekerja dengannya sebagai pegawai khas utamanya sebagai Timbalan Perdana Menteri pada tahun 2004 hingga 2005 yang mana beliau tahu keupayaan saya bekerja.

“Skop perkhidmatan termasuk penyediaan teks ucapan dalam Bahasa Inggeris untuk Najib sama ada di dalam atau di luar negara, menyelaras urusan dengan media antarabangsa yang berpusat di Malaysia, menyelaras temuduga ketika lawatan luar negara dengan media antarabangsa dan menyediakan draf temuduga atau artikel dalam majalah atau akhbar berbahasa Inggeris,” katanya.

Katanya, individu yang menganggotai pasukan ini antaranya adalah bekas Ketua Pegawai Eksekutif APCO Malaysia Paul Stadlen; bekas penulis ucapan bekas Perdana Menteri, Britain Gordon Brown, Charlotte Carr; Ketua Komunikasi Ibu Pejabat Facebook Amerika Syarikat, Lachlan Mackenzie; dan penasihat media bekas Perdana Menteri United Kingdom Tony Blair, Benedict Macon Cooney.

Sumber