Ketua jurulatih Filipina, Tom Saintfiet mengakui telah menerima ancaman bunuh daripada individu yang tidak dikenali menjelang aksi pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2026 menentang Indonesia esok.

Kata-kata beliau yang ingin mengalahkan Indonesia untuk membantu Vietnam mara ke pusingan ketiga Kelayakan Piala Dunia 2026 telah mengundang kemarahan penyokong skuad Garuda di media sosial.

Baca Juga:

Bagaimanapun, Saintfiet menjelaskan penyokong Indonesia salah faham dengan kenyataannya yang didakwa diputar belit oleh media negara itu.

“Ada orang ingin membunuh saya kerana media salah tulis. Dan itu tidak baik. Saya mengikuti perkembangan bola sepak Indonesia selama bertahun-tahun, saya mengetahui pemain di sini.

“Wartawan Vietnam bertanya apa yang anda fikirkan tentang pasukan mereka? Saya berkata, okay, Vietnam ada peluang.

“Kita tak ingin menang kerana Vietnam. Kita ingin menang kerana Filipina. Jika kita bermain di Indonesia sekalipun, kita tetap akan mencuba untuk menang.

“Kerana saya mendapat banyak reaksi daripada penyokong Indonesia dan saya juga menerima beberapa ancaman,” jelas Saintfiet dipetik dalam CNN Indonesia.

Berdasarkan kedudukan terkini kumpulan F, Indonesia memiliki peluang cerah untuk mara ke pusingan ketiga Kelayakan Piala Dunia 2026 jika berjaya menewaskan Filipina esok.

Namun begitu, Filipina enggan memberi laluan mudah dan tekad buru kemenangan pertama walaupun beraksi di tempat lawan.

“Saya tidak ada apa-apa hubungan dengan Vietnam, tidak ada untungnya juga kalau Vietnam yang mara. Cuma saya hanya bersama Filipina, saya mewakili Filipina.

“Jadi, ketika saya tegaskan saya ingin menang melawan Indonesia dan menjelaskan Vietnam boleh mara kalau mengalahkan Iraq, saya tidak rasa itu kenyataan yang salah,” tambahnya.