Hajat skuad muda Indonesia untuk mara ke Sukan Olimpik menerusi slot tempat ketiga Piala Asia B-23 tidak kesampaian apabila tewas 1-2 kepada Iraq di Stadium Abdullah bin Khalifa.

Ia adalah perlawanan yang cukup sengit kerana kedua-dua pasukan mahu mendapatkan tiket beraksi di Sukan Olimpik Paris 2024.

Baca Juga:

Ketika aksi tersebut, Indonesia terlebih dahulu membuka akaun jaringan menerusi rembatan leret Ivar Jenner  dari luar kotak penalti pada minit ke 19.

Gol itu memberikan semangat tambahan kepada pemain skuad garuda muda untuk terus mengandakan asakan memburu jaringan kedua.

Bagaimanapun, beberapa minit kemudian, Iraq berjaya menyamakan kedudukan selepas Zaid Tahseen menanduk masuk dalam situasi kelam kabut di kawasan kotak penalti.

Kedudukan 1-1 kekal sehingga separuh masa pertama.

Memasuki babak kedua, perlawanan menjadi lebih rancak apabila kedua-dua pasukan melakukan beberapa percubaan berbahaya namun dinafikan oleh ketangkasan penjaga gol masing-masing.

Indonesia nyaris menjaringkan gol kedua menerusi bintang tengah, Maselino Ferdinan tetapi rembatannya tersasar dan kadang kala mudah ditangkap kemas oleh penjaga gol lawan.

Iraq bangkit melancarkan serangan bertubi-tubi namun malangnya masih buntu mendapatkan gol. Kedudukan 1-1 kekal sehingga tamat perlawanan dan terpaksa diheretkan ke masa tambahan.

Pada minit ke 96, Iraq akhirnya memperolehi gol kedua selepas Ali Jasim yang tidak dikawal melepaskan rembatan kencang yang mudah menewaskan penjaga gol Indonesia, Ernando Ari hasil hantaran jarak jauh Maslookhi.

Tersentak dengan gol tersebut, Indonesia cuba bangkit mencari jaringan penyamaan dan segala usaha mereka tidak membuahkan hasil.

Kedudukan 2-1 kekal sehingga tamat perlawanan dan sekaligus menyaksikan slot ketiga Sukan Olimpik menjadi milik Iraq bersama dua lagi wakil Asia iaitu Jepun dan Uzbekistan.

Namun begitu, Indonesia masih berpeluang ke Sukan Olimpik kerana mereka akan mengharungi perlawanan ‘play-off’ menentang wakil Afrika, Guinea pada minggu depan.

Ini adalah perjalanan yang cukup panjang bagi skuad kendalian Shin Tae-yong itu dan sudah pasti bakal menjadi bualan peminat bola sepak dari seluruh Asia kerana ia adalah kejutan luar biasa daripada pasukan bukan pilihan.