Banglo Mona Fendi, Villa Nabila dan boleh dikatakan banyak lagi kediaman yang orang ramai dakwa berhantu. Malah, jika sesebuah kediaman itu ditinggal lama atau berlaku kejadian tidak diingini seperti berlaku pembunuhan dan sebagainya pun membuatkan ramai orang menganggap tempat tersebut berhantu.

Hal seperti ini menyukarkan ejen hartanah untuk menjual rumah yang dikatakan berhantu. Oleh itu, laman Facebook KL Selangor Lelong Properties baru-baru ini berkongsi bahawa mereka telah mengupah pasukan penyelidik paranormal untuk menyiasat sama ada terdapat aktiviti menghantui sebuah hartanah di Klang.

Baca Juga:

Menerusi perkongsian tersebut, pasukan penyelidik paranormal memperakui bahawa rumah itu tidak mempunyai tanda-tanda utama aktiviti hantu pada masa pemerhatian.

Malah, pasukan itu juga menjelaskan lampu berkelip mungkin disebabkan oleh kabel yang rosak manakala pintu terbuka dan ditutup mungkin disebabkan oleh angin.

Bagi bunyi yang menyeramkan pula mungkin disebabkan oleh haiwan liar di kawasan itu. Tambahnya, siasatan lanjut memerlukan mereka di lokasi berkenaan selama 15 hari.

Untuk pengetahuan anda, rumah itu dipercayai mempunyai nilai pasaran sebanyak RM2.4 juta tetapi ia dilelong pada harga RM1.4 juta. Rumah tersebut juga berada dalam komuniti berpagar dan penduduk mempunyai akses kepada kemudahan rumah kelab.

Perkongsian tersebut telah meraih perhatian orang ramai dan hasil pemerhatian kami mendapat ada segelintir netizen mempersoalkan jika pasukan penyelidik paranormal itu ‘certificate’ ataupun hanyalah ‘wayang’ semata-mata.

Malah, ada juga netizen memuji tindakan ejen hartanah untuk menyiasat terlebih dahulu justeru memberikan keyakinan kepada pembeli bahawa tempat tersebut tidak berhantu.