Semalam tular beberapa video di media sosial yang memperlihatkan seseorang individu bermain mercun berdekatan flat sehingga mengganggu ketenteraman. Lebih membahayakan lagi apabila percikan api daripada mercun itu tempias ke laluan koridor di kawasan rumah.

Memetik Kosmo!, tindakan dua orang lelaki membakar mercun pada lewat pagi mengundang padah apabila ditahan polis di kawasan perumahan PPR Lembah Subang, Kelana Jaya pada hari semalam.

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

Baca Juga:

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, pihaknya menerima aduan daripada orang awam berhubung kejadian itu pada pukul 4.35 pagi.

“Sejurus menerima panggilan tersebut, sepasukan anggota polis bergegas ke lokasi kejadian bersama dua buah unit kereta peronda (MPV).

“Setibanya di lokasi kejadian, didapati lebih 50 orang penduduk di perumahan tersebut berkumpul menunjukkan perasaan takut serta marah akibat bunyi mercun yang berterusan dilakukan sekumpulan individu terbabit.

“Anggota dan kenderaan polis yang berada di lokasi kejadian turut dilontarkan mercun oleh suspek tersebut namun tiada kecederaan pada anggota,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Jelas Fakhruddin, hasil maklumat awam yang disalurkan, pihaknya berjaya menahan dua lelaki tempatan berusia 20-an dan semakan mendapati kedua-dua mereka mempunyai rekod lampau kesalahan jenayah serta dadah.

Kata beliau, kedua-dua suspek kini ditahan reman selama dua hari bermula hari ini sehingga esok.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan dan Seksyen 13 Akta Kesalahan Kecil 1955”, katanya lagi.

Orang ramai dinasihatkan supaya mematuhi undang-undang dan tidak melakukan sebarang perbuatan jenayah. Sementara itu, anda yang mempunyai maklumat berkenaan kes ini boleh menghubungi bilik gerakan IPD Petaling Jaya di talian 03-79662222.