Safiudeen Pakkeer Mohamed, pekerja migran tanpa tempat tinggal yang dikasari kerana tidur di luar sebuah bank di Kuala Lumpur, akan pulang ke India esok malam (hari ini), lapor Free Malaysia Today.

Tony Lian, pengasas dua pusat perlindungan gelandangan, berkata Safiudeen kini ditempatkan di sebuah pusat perlindungan yang dikendalikan oleh Suruhanjaya Tinggi India di Kuala Lumpur.

Baca Juga:

“Penerbangannya adalah esok malam (hari ini),” kata Lian kepada FMT.

Beliau berkata Jabatan Tenaga Kerja dan pihak polis menemu bual Safiudeen, 39, awal hari ini.

“Ia satu sesi siasatan yang agak panjang, kira-kira tiga jam,” katanya.

Selepas siasatan itu, beliau membawa Safiudeen ke suruhanjaya tinggi untuk memudahkan pertemuan dengan majikannya.

“Saya bertemu dengan majikan dan pegawai suruhanjaya. Dalam pertemuan itu, majikan bersetuju untuk menyelesaikan tunggakan gaji Safiudeen secara baik dan membelikan tiket untuknya pulang,” katanya.

FMT telah menghubungi Jabatan Tenaga Kerja untuk mengesahkan sama ada majikan itu akan berdepan sebarang tindakan.