Pada hari ini ramai majikan kurang mengambil berat tentang tahap pendidikan formal pekerja mereka, lapor New Straits Times.

Sebaliknya, kebanyakan mereka lebih menekankan faktor seperti etika kerja yang baik, pengalaman kerja, kesesuaian budaya dan keupayaan untuk belajar sendiri yang dapat membangunkan syarikat.

Baca Juga:

Pengarah Urusan Jobstreet by Seek Malaysia Vic Sithasanan berkata menurut Laporan Pampasan dan Faedah Pengambilan Pekerja 2024, bentuk pembangunan kerjaya yang paling biasa ialah program latihan atau pembelajaran kendiri, di mana 63 peratus majikan sudah menyediakan di syarikat masing-masing.

“Memandangkan perkara ini, walaupun sesetengah majikan mungkin melihat pendidikan formal sebagai kriteria, ramai yang kurang mementingkan perkara ini kerana kebanyakan mereka menyediakan latihan khusus yang diperlukan untuk menunjukkan prestasi yang baik dalam syarikat,” katanya.

Vic berkata satu lagi permintaan yang semakin meningkat oleh majikan adalah pekerja yang boleh bertutur bahasa Mandarin.

Beliau berkata lebih banyak penyenaraian pekerjaan untuk pekerja peringkat pertengahan sekarang memasukkan keperluan boleh bertutur bahasa Mandarin.

“Walaupun bahasa Inggeris adalah bahasa utama untuk berkomunikasi di pasaran global, ini berbeza apabila peranannya melibatkan kerjasama dengan pihak berkepentingan yang berada di seluruh pasaran yang berbeza.

“Sebagai contoh, dengan kemasukan besar pelaburan langsung asing di Malaysia, terdapat permintaan yang semakin meningkat untuk pekerja boleh bertutur bahasa Mandarin,” katanya

Bagaimanapun, Presiden Persekutuan Majikan Malaysia, Datuk Dr Syed Hussain Syed Husman menegaskan bahawa bahasa Inggeris kekal dalam lima kemahiran teratas yang dicari oleh majikan semasa mengambil pekerja.