Baru-baru ini, orang ramai mula melawati sebuah lokasi tarikan baharu yang dikenali sebagai Cameron Santorini. Difahamkan pembinaan tempat ini diinspirasikan daripada Santorini yang ada di Greece di mana cukup terkenal pemandangan yang cantik serta rekaan rumah berbentuk gua yang unik.
Namun selepas lebih sebulan dibuka, Mini Santorini tersebut telah digempur oleh Majlis Pembandaran Cameron Higlands (MDCH) kerana didakwa telah dibina secara haram pada lokasi terbabit.
Operasi yang bermula pada jam 9.00 pagi dan berakhir sekitar jam 11.30 pagi tersebut diketuai oleh Yang Dipertua MDCH, Tuan Azmil Hadid bin Maznan.
Operasi ini turut melibatkan kerjasama kakitangan daripada MDCH serta pelbagai jabatan dan agensi daerah, termasuk Pejabat Daerah dan Tanah Daerah Cameron Highlands (PDTCH), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Unit Penguatkuasaan Negeri Pahang (UPNP), Jabatan Kerja Raya Daerah Cameron Highlands (JKR) dan Tenaga Nasional Berhad (TNB).
Tindakan penguatkuasaan ini diambil berdasarkan Seksyen 70(1) Akta Jalan Parit dan Bangunan 1974 (Akta 133) yang menyatakan kesalahan pembinaan tanpa kelulusan.
Turut dikongsikan beberapa keping gambar yang memperlihatkan aksi perobohan yang dibuat berskala besar termasuklah penggunaan jengkaut. Sementara pihak berkuasa yang lain menggunakan penukul besi untuk meruntuhkan struktur dinding dan kaunter di kawasan sekitarnya.
Dengan tindakan ini, MDCH berharap ia dapat menjadi pengajaran dan peringatan kepada semua pihak yang bercadang untuk menjalankan projek pembangunan agar mematuhi semua prosedur dan peraturan yang telah ditetapkan.
Perkongsian MDCH itu langsung menjadi perhatian ramai dan menerima pelbagari reaksi daripada netizen. Rata-rata netizen menyokong MDCH yang melaksanakan tindakan penguatkuasaan terhadap pembinaan haram tersebut.
Malah, ada yang sudah mengunjunginya pula mendedahkan tiket masuk tempat tersebut terlalu mahal sekaligus hanya yang berkemampuan sahaja boleh melawati.
Sementara netizen yang lain meluahkan rasa sedih kerana tidak sempat mengunjungi dan mengambil gambar di lokasi terbabit yang sememangnya menjadi tarikan buat pencinta fotografi.