Majlis Ulama Rohingya (MUR), Rahimullah Muhammad Hussain tampil memberikan penjelasan rasmi berhubung beberapa dakwaan yang tular di media sosial.
Menurutnya, terdapat banyak tuduhan tidak berasas, termasuk dakwaan kononnya menuntut hak kewarganegaraan Malaysia serta menguasai kawasan tertentu.
Dalam kenyataan tersebut, MUR menegaskan bahawa mereka sama sekali tidak pernah menuntut kewarganegaraan Malaysia, sebaliknya hanya memperjuangkan hak kewarganegaraan di negara asal mereka, Myanmar.
Mereka turut mendakwa terdapat pihak tidak bertanggungjawab yang telah mengubah suai kenyataan asal sehingga mencetuskan salah faham dan ketegangan dalam kalangan masyarakat.
Dipetik daripada surat terbukanya kepada Malaysiakini, Rahimullah Muhammad Hussain berkata: “Kami menafikan dengan sekeras-kerasnya terhadap semua dakwaan palsu di media sosial.
“Kami tidak pernah menuntut mana-mana kawasan atau sebarang hak kewarganegaraan di Malaysia,”
MUR turut menjelaskan bahawa kehadiran komuniti Rohingya di Malaysia adalah semata-mata untuk mendapatkan perlindungan sementara serta menjalani kehidupan yang aman, selaras dengan undang-undang negara.
Hidup sebagai pelarian
Mereka juga menghargai peranan Malaysia yang telah menerima pelarian dari pelbagai negara walaupun Malaysia bukan negara penandatangan Konvensyen Pelarian 1951.
Dalam masa yang sama, MUR turut menzahirkan penghargaan kepada kerajaan Malaysia, NGO serta rakyat Malaysia atas bantuan kemanusiaan dan peluang pendidikan agama yang diberikan kepada anak-anak pelarian.
Rahimullah menambah: “Kami merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih yang tidak terhingga kepada kerajaan Malaysia, NGO serta seluruh rakyat Malaysia atas segala bantuan, sokongan, ihsan dan keprihatinan yang diberikan selama ini.”
Hanya menumpang sementara di Malaysia
Dalam pada masa yang sama Rahimullah menegaskan bahawa, pelarian Rohingya hanya menumpang sementara di d Malaysia ini. Dan tiba masanya nanti mereka akan kembali ke negara asal mereka di Myanmar.
“Kehadiran kami di negara ini hanyalah untuk mendapatkan perlindungan keselamatan sementara serta menjalani kehidupan aman damai, dengan mematuhi sepenuhnya undang-undang dan peraturan di Malaysia.
“Kami juga bersedia untuk kembali ke Myanmar apabila wujud jaminan keselamatan, keamanan serta pengiktirafan terhadap hak-hak kewarganegaraan kepada kami,” tambahnya.
Kami Hanya Menumpang Sementara Di Malaysia, Nanti Kami Akan Pulang Ke Myanmar – Majlis Ulama Rohingya
Oleh Mynewshub
KUALA LUMPUR – Majlis Ulama Rohingya (MUR) menegaskan komuniti Rohingya yang berada di Malaysia tidak berniat untuk menetap secara kekal atau menuntut hak… pic.twitter.com/R59bs03GUE
— MYNEWSHUB (@mynewshub) June 20, 2026
MUR juga tidak menafikan wujudnya kelemahan dalam kalangan segelintir individu dalam komuniti mereka, dan memohon maaf atas sebarang kesilapan yang mungkin menyinggung perasaan rakyat Malaysia.
“Kami akui atas segala kekurangan segelintir komuniti Rohingya yang menyinggung perasaan rakyat Malaysia, justeru itu kami ingin memohon maaf… agar dapat mewujudkan ukhuwah yang lebih baik dan hidup dengan lebih harmoni.”
Dalam kenyataan itu juga, MUR menegaskan bahawa isu yang tular seperti dakwaan penguasaan Pasar Borong Selayang adalah tidak tepat kerana ia melibatkan pelbagai etnik dari Myanmar, bukan hanya Rohingya.
Mereka menyeru orang ramai supaya tidak mudah terpengaruh dengan maklumat tidak sahih.
Dari sudut kemanusiaan, MUR turut merujuk kepada penderitaan panjang komuniti Rohingya sejak beberapa dekad lalu yang menyebabkan mereka menjadi pelarian di banyak negara.
MUR mengingatkan: “Iaitu mereka yang diusir dari kampung halamannya dengan tidak berdasarkan sebarang alasan yang benar, semata-mata kerana mereka berkata: ‘Tuhan kami ialah Allah’. (Surah Al-Hajj: 40)”
Pada masa sama, mereka menyeru agar semua pihak menghentikan penyebaran fitnah dan ucapan kebencian, serta menjaga keharmonian masyarakat berbilang kaum di Malaysia.
Rahimullah berkata: “Sesungguhnya orang-orang yang suka akan tersebarnya tuduhan-tuduhan yang buruk dalam kalangan orang-orang yang beriman, mereka akan beroleh azab seksa yang tidak terperi sakitnya… (Surah An-Nur: 19)”
MUR menegaskan kesediaan untuk terus mematuhi undang-undang Malaysia serta berharap isu pelarian dapat difahami dalam konteks kemanusiaan yang lebih luas, bukan dipolitikkan atau dijadikan bahan kebencian.
Rahimullah mengakhiri warkahnya: “Bukankah bumi Allah itu luas sehingga kamu boleh berhijrah di dalamnya? (Surah An-Nisa: 97).”