Pulau Pinang kini melangkah setapak lagi dalam memperkukuh namanya di persada pelancongan antarabangsa dengan melancarkan pakej pelancongan berasaskan durian yang pertama, direka khusus untuk pasaran pelancong Hong Kong.
Inisiatif ini bukan sahaja menjanjikan pengalaman percutian yang unik, malah ia mengangkat buah durian yang ikonik sebagai identiti tarikan utama negeri tersebut.
Mengapa pelancong Hong Kong yang menjadi sasaran utama? Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Ekonomi Kreatif negeri, Wong Hon Wai menjelaskan bahawa Hong Kong kekal sebagai pasaran pelancong antarabangsa utama bagi Pulau Pinang lapor Astro Awani.

Pelawat dari wilayah berkenaan sangat menggemari percutian yang menawarkan pengalaman gastronomi yang kaya, keindahan warisan budaya, serta aktiviti pelancongan yang bersifat imersif (mendalam).
Bagi merealisasikan idea ini, satu kerjasama strategik telah dijalankan melibatkan Tourism Malaysia (pejabat Hong Kong), Penang Global Tourism (PGT), dan Wing On Travel.
Hasilnya, pakej Penang Culinary and Sightseeing Durian Feast Tour berjaya diperkenalkan. Pakej percutian selama lima hari ini menjanjikan layanan kelas pertama dengan tawaran penginapan mewah, sesi menikmati durian tanpa had, lawatan ke dusun durian, serta kunjungan ke lokasi-lokasi tarikan utama di sekitar Pulau Pinang.
Apa yang menjadikan inisiatif ini lebih istimewa adalah cara Pulau Pinang mengubah persepsi terhadap ‘pelancongan durian’. Ia kini berkembang melangkaui aktiviti makan buah semata-mata dan telah berevolusi menjadi produk pelancongan berasaskan pengalaman yang menggabungkan elemen makanan, alam semula jadi, dan budaya tempatan.
Sebagai contoh, pelancong kini berpeluang menikmati bufet durian sambil merasai pengalaman pelancongan desa di Balik Pulau, yang juga merupakan satu-satunya kawasan di Malaysia yang mengusahakan tanaman durian di atas sebuah pulau.
Langkah bijak mengetengahkan tarikan bermusim ini juga dilihat sejajar dengan kempen Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM2026). Dengan adanya usaha dan kerjasama yang berterusan, kemasukan pelancong dari Hong Kong dijangka akan terus meningkat.
Pada masa yang sama, ia pastinya dapat mengukuhkan lagi kedudukan Pulau Pinang sebagai salah satu destinasi pelancongan berasaskan pengalaman yang paling terkemuka di rantau Asia.