Isu jurugambar yang berlegar di sekitar bangunan ikonik di ibu negara iaitu Menara Berkembar Petronas atau KLCC semakin meresahkan masyarakat dan menggesa agar tindakan segera diambil.

Menurut perkongsian salah seorang pengguna laman X, sekumpulan jurugambar dilihat berdiri di dalam kawasan jalan raya ketika mengambil gambar pelanggan mereka sekaligus menganggu lalu lintas di kawasan tersebut.

Baca Juga:

Selain menganggu lalu lintas, tindakan jurugambar tersebut juga boleh membahayakam nyawa orang lain yang mana kemalangan boleh berlaku disebabkan tindakan tersebut.

Netizen menggesa agar penguat kuasa seperti PDRM, Imigresen dan juga Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) untuk mengambil tindakan bagi mengawal fenomena ini.

Sebelum ini, salah seorang jurugambar menjawap tuduhan yang mengatakan mereka menipu pelanggan dengan mengenakan bayaran yang terlalu mahal.

“Kami tidak paksa guna perkhidmatan kami, satu gambar RM5 sahaja. ‘Scam’ apa harga begitu?,” kata Datu Al Basir Datu Ismail, salah seorang jurugambar bergerak di hadapan KLCC kepada Harian Metro.

Katanya lagi, beliau terkilan apabila dirinya dan rakan-rakan yang berasal dari Sabah dituduh sebagai pendatang asing, malah tular dakwaan menuduh mereka mengambil kesempatan menipu pelancong dengan mengenakan caj melampau untuk satu gambar.

“Baru-baru ini tular seorang pelancong Indonesia mengatakan kami ‘scam‘ pelancong. Itu semua fitnah, dia (pelancong) ambil gambar kami secara senyap-senyap dan buat video begitu.

“Kami tidak memaksa, setiap gambar yang pelanggan berkenan sahaja kami akan caj RM5 dan kalau mereka tidak berkenan kami tidak kenakan bayaran,” katanya.

Beliau menjelaskan bahawa terdapat lebih kurang 40 jurugambar bergerak yang menjadikan lokasi itu sebagai lubuk mencari rezeki bermodalkan telefon pintar, penstabil telefon dan lampu LED.

“Kami dari pagi sampai ke petang di sini, duduk di bawah panas terik niat cuma hendak mencari rezeki yang halal.

“Jadi saya berharap orang ramai berhenti menuduh kami sebagai ‘scammer’ yang hanya mengambil kesempatan atas orang ramai,” tambahnya.