Pernah tular di media sosial dengan dakwaan berlaku aktiviti penipuan yang dilakukan oleh jurugambar bergerak di sekitar KLCC. Malah, mereka dituduh memanipulasi harga gambar mengikut sesuka hatinya kepada pelancong.

“Kami tidak paksa guna perkhidmatan kami, satu gambar RM5 sahaja…’scam’ apa harga begitu?,” kata Datu Al Basir Datu Ismail, salah seorang jurugambar bergerak di hadapan Menara Berkembar Petronas kepada Harian Metro.

Baca Juga:

Katanya lagi, beliau terkilan apabila dirinya dan rakan-rakan yang berasal dari Sabah dituduh sebagai pendatang asing, malah tular dakwaan menuduh mereka mengambil kesempatan menipu pelancong dengan mengenakan caj melampau untuk satu gambar.

Datu Al Basir,36, berkata, beliau yang sudah lebih tujuh tahun berhijrah ke ibu negara hanya ingin mencari rezeki halal untuk menyara isteri dan lima anak kecil yang kini berada di Tawau, Sabah.

“Baru-baru ini tular seorang pelancong Indonesia mengatakan kami ‘scam‘ pelancong. Itu semua fitnah, dia (pelancong) ambil gambar kami secara senyap-senyap dan buat video begitu.

“Kami tidak memaksa, setiap gambar yang pelanggan berkenan sahaja kami akan caj RM5 dan kalau mereka tidak berkenan kami tidak kenakan bayaran,” katanya kepada Harian Metro ketika ditemui.

Beliau menjelaskan bahawa terdapat lebih kurang 40 jurugambar bergerak yang menjadikan lokasi itu sebagai lubuk mencari rezeki bermodalkan telefon pintar, penstabil telefon dan lampu LED.

“Kami dari pagi sampai ke petang di sini, duduk di bawah panas terik niat cuma hendak mencari rezeki yang halal.

“Jadi saya berharap orang ramai berhenti menuduh kami sebagai ‘scammer’ yang hanya mengambil kesempatan atas orang ramai,” katanya.

Menurut petugas keselamatan di lokasi berkenaan, mereka banyak menerima aduan berkaitan ketidakpuasan hati berkaitan jumlah upah yang diminta kumpulan jurugambar berkenaan daripada pengunjung.

Difahamkan, selepas isu terbabit ditularkan, pihak pengurusan tidak membenarkan mana-mana jurugambar bergerak untuk beroperasi di dalam premis termasuk kawasan air pancut yang menjadi tumpuan orang ramai.

Biarpun perkara itu tular di media sosial, sebenarnya masih ada pelancong yang menggunakan khidmat mereka. Bahkan, ramai yang berpuas hati dengan hasil gambar yang ditawarkan.

Sumber