Bagi anda yang selalu meluangkan masa hujung minggu dengan menonton drama bersiri atau filem terkini di Netflix, ada sedikit berita yang mungkin buat anda mengeluh panjang.

Platform penstriman gergasi ini baru sahaja mengumumkan kenaikan harga langganan untuk semua kategori pelan bagi pasaran Malaysia.

Berita ini sudah pastinya menjadi perbualan hangat dalam kalangan pengguna. Di zaman sekarang ini semuanya memerlukan duit, dan hiburan di rumah juga tidak terkecuali daripada terkena tempias inflasi.

Kenaikan melibatkan semua pelan langganan

Menurut kemas kini terbaharu, nampaknya tiada satu pelan pun yang terselamat daripada semakan harga kali ini. Kalau anda pengguna pelan Mobile, harganya naik seringgit kepada RM19.90 sebulan berbanding RM18.90 sebelum ini.

Untuk anda yang melanggan pelan Basic, sediakan bajet tambahan kerana ia kini berharga RM33.90 sebulan, naik RM4 daripada harga asal. Bagi pelan Standard pula, peningkatannya agak terasa dengan tambahan RM6, menjadikan harga baharu RM55.90 sebulan.

Namun, yang paling memberikan kesan semestinya pelan Premium. Kenaikannya mencatatkan rekod tertinggi iaitu sebanyak RM7, menjadikan yuran bulanan kini mencecah RM69.90 sebulan berbanding RM62.90.

Slot ahli tambahan turut terkesan

“Habis tu, kawan saya yang menumpang akaun ini macam mana pula?”

Ini soalan yang pasti terlintas di fikiran anda yang sudi berkongsi akaun bersama rakan atau ahli keluarga yang tinggal berasingan. Jangan terkejut, kadar untuk slot ahli tambahan juga dinaikkan.

Kalau sebelum ini anda hanya perlu membayar RM13 sebulan untuk setiap slot tambahan bagi pelan Standard dan Premium, kini harganya sudah dinaikkan kepada RM14.90 sebulan.

Apa kata pihak Netflix?

Pasti ramai yang tertanya-tanya, mengapa harga perlu dinaikkan secara mendadak?

Pihak Netflix tampil menjelaskan bahawa langkah ini terpaksa diambil bagi memastikan mereka dapat terus memberikan perkhidmatan yang terbaik buat para pelanggan.

Mereka mahu menggunakan dana ini untuk terus meningkatkan mutu perkhidmatan penstriman, selain konsisten menambah tawaran siri televisyen dan filem-filem baharu yang lebih gempak setiap minggu.

Pendek kata, mereka mahu pelaburan bulanan anda itu berbaloi dengan lambakan kandungan berkualiti yang boleh ditonton tanpa henti.

Tepuk dada, tanya selera

Adakah kenaikan ini akan membuatkan anda bertukar arah ke platform penstriman yang lain, atau terus kekal setia bersama Netflix?

Semuanya bergantung kepada bajet dan kekerapan anda menonton. Kalau anda memang sejenis yang tidak boleh hidup tanpa Netflix, mungkin pejam mata sahajalah bayar lebih sedikit setiap bulan. Tapi kalau jarang-jarang buka, mungkin sudah tiba masanya untuk buat kira-kira semula.

Sumber