Syarikat penerbangan negara, Malaysia Airlines (MAS) kini disebut-sebut sebagai bakal penaja utama salah satu kelab gergasi Liga Perdana Inggeris (EPL) iaitu Chelsea FC.

Perkembangan itu didedahkan oleh pakar pemasaran sukan dari Poland, Łukasz Bączek menerusi laman X yang meletakkan nama Malaysia Airlines bersama Bank of America dan Riyadh Air sebagai calon penaja buat skuad The Blues.

HYPE
Dari Konten Ke Jualan, TikTok Shop ‘Game Changer’ E-Dagang
Baca lagi →

Baca Juga:

“Kelab dalam perbincangan dengan Riyadh Air tetapi rundingan itu mungkin sukar kerana kekurangan aksi UCL. Sebagai tambahan, mereka juga sedang berbincang dengan Bank of America dan Malaysia Airlines.

“Kumpulan syarikat lain yang sedang berbincang dengan Chelsea juga termasuk sebuah syarikat Asia daripada industri kewangan dan insurans,” tulis Baczek.

MAS dikatakan berada dalam perbincangan tersebut kerana pernah menjalinkan hubungan secara global bersama Liverpool antara tahun 2016 dan 2019.

Ini bukan kali pertama Malaysia Airlines terlibat dalam penajaan atau endorsemen kelab EPL. Pada tahun 2011, Queens Park Rangers pernah meterai perjanjian tajaan bernilai jutaan dollar dengan MAS dan AirAsia.

Jika Malaysia Airlines dipilih sebagai penaja, logo syarikat itu akan dipaparkan pada bahagian depan jersi rasmi Chelsea FC dan juga bahagian iklan dalam setiap perlawanan yang ditonton oleh peminat dari seluruh dunia.

Namun begitu, Riyadh Air tetap berada dalam senarai teratas selaku penaja utama kerana syarikat dari Arab Saudi itu masih berminat untuk menaja Chelsea bermula musim baharu.

Sebelum ini, perjanjian kelab bersama Oman Air selaku syarikat penerbangan rasmi Chelsea dan kerjasama global juga sudah pun ditamatkan pada bulan lalu.