Malaysia bakal melaksanakan rombakan besar-besaran terhadap skim visa ekspatriat bermula Jun ini dengan menggandakan ambang gaji minimum bagi pekerja asing mahir.

Langkah ini merupakan semakan pertama yang signifikan dalam tempoh hampir sedekad sejak kali terakhir ia dikemas kini pada September 2017, petik Asia Nikkei.

Baca Juga:

Keputusan yang dibuat di peringkat Persekutuan ini merangkumi semua sektor ekonomi, sebagai langkah proaktif kerajaan untuk menjamin lebih banyak peluang pekerjaan berkualiti kepada penduduk tempatan di tengah-tengah kerancakan pelaburan asing ke dalam negara.

Menerusi semakan yang diumumkan secara rasmi oleh Kementerian Dalam Negeri, syarat gaji bagi Pas Penggajian (EP) Kategori I bagi jawatan pengurusan tertinggi akan dinaikkan kepada RM20,000 sebulan, berbanding RM10,000 sebelum ini.

Bagi jawatan tahap pertengahan Kategori II, had gaji minimum akan meningkat daripada RM5,000 kepada RM10,000, manakala bagi Kategori III tahap rendah, ia dinaikkan daripada RM3,000 kepada RM5,000 sebulan.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Sikh Shamsul Ibrahim, tindakan ini bertujuan untuk ‘menaikkan paras lantai’ gaji bagi mengelakkan tekanan ke bawah terhadap upah tempatan akibat penggajian tenaga kerja asing yang murah dalam sektor pertumbuhan tinggi.

Dasar ini secara jelas menekankan keutamaan kepada bakat tempatan, terutamanya bagi jawatan bukan teknikal yang mampu diisi oleh rakyat Malaysia sendiri.

MIDA menegaskan bahawa setiap permohonan jawatan ekspatriat kini memerlukan justifikasi yang ketat bagi memastikan proses lokalisasi jawatan dapat dilaksanakan.

Meskipun menyedari bahawa langkah ini mungkin tidak disenangi oleh sesetengah majikan, kerajaan berpendirian bahawa ketergantungan kepada ekspatriat untuk jawatan yang boleh dilakukan oleh warga tempatan harus dihentikan demi menjaga kelestarian ekosistem pekerjaan negara.

Walau bagaimanapun, pakar ekonomi berpendapat bahawa langkah ini adalah satu ‘pedang bermata dua’.

Di satu pihak, penyelarasan ambang gaji ini meletakkan Malaysia setanding dengan tanda aras di Singapura dan Hong Kong, sekali gus menggalakkan pemindahan kemahiran dan mempercepatkan lokalisasi bakat peringkat kanan.

Namun di pihak yang lain, wujud kebimbangan sama ada ekosistem Malaysia sudah cukup matang untuk menarik bakat global pada paras gaji RM20,000 ke atas.

Tanpa langkah sokongan seperti pembangunan rangkaian bakat yang kukuh dan pengecualian bagi sektor spesifik, dasar ini dikhuatiri boleh menjejaskan keputusan pelaburan syarikat multinasional, terutamanya dalam bidang penyelidikan dan pembangunan (R&D) serta transformasi digital.

Secara keseluruhannya, peralihan dasar ini mencerminkan cita-cita Malaysia untuk beralih daripada ekonomi kos rendah kepada hab bakat bernilai tinggi.

Dengan jumlah pas penggajian baharu yang kian meningkat mencecah 166,980 setakat November tahun lalu.

Kawalan yang lebih ketat ini dianggap perlu bagi memastikan limpahan ekonomi daripada pelaburan multinasional benar-benar dirasai oleh tenaga kerja tempatan melalui kenaikan penanda aras gaji nasional.

Sumber