Penyakit kencing manis atau diabetes merupakan satu masalah kesihatan kronik yang merosakkan keupayaan tubuh untuk memproses glukosa darah atau juga dikenali sebagai gula darah.

Menurut satu statistik yang dikeluarkan baru-baru ini, Malaysia menjadi antara negara yang memiliki pesakit kencing manis paling ramai di dunia.

Baca Juga:

Data yang dikeluarkan oleh Spectator Index menunjukkan Malaysia menduduki tangga kelima dalam senarai pesakit kencing manis paling ramai di dunia.

Seramai 19 peratus daripada 34.1 juta populasi rakyat negara ini mengalami penyakit itu dan bilangan ini cukup membimbangkan.

Negara paling ramai yang memiliki pesakit kencing manis adalah Pakistan iaitu sebanyak 30.8 peratus daripada populasi negara itu diikuti Kuwait (24.9 peratus), Mesir (20.9 peratus) dan Qatar (19.5 peratus).

Kedudukan di tangga kelima dalam statistik ini menjadikan Malaysia sebagai negara Asia Tenggara yang mempunyai pesakit diabetes paling ramai.

Beberapa jenis diabetes sudah dikenal pasti, tetapi yang lazim menerima rawatan ialah diabetes jenis satu dan jenis dua. Baca dengan lebih lanjut di sini.

Sekiranya seorang individu itu mengalami penyakit kencing manis, ini boleh meningkatkan risiko mendapat komplikasi berbahaya dan merosakkan pelbagai organ seperti sistem saraf, mata, buah pinggang, termasuk sakit jantung dan strok.

Antara tanda dan gejala yang boleh dikesan sekiranya anda mengalami penyakit kencing manis adalah sentiasa berasa lapar, berat badan yang turun secara drastis, kerap kencing, kerap berasa haus, penglihatan semakin kabur, senang berasa keletihan melampau dan luka yang lambat sembuh.

Bagi memastikan perkara ini boleh dibendung, rakyat perlu segera menjalani gaya hidup sihat serta mengawal pemakanan yang boleh menyumbang kepada penyakit ini.

Taman rekreasi awam perlu diperbanyakkan lagi dalam negara dan bukannya membina bangunan seperti pusat membeli belah ataupun perumahan sekiranya terdapat tanah kosong.