Kerajaan Malaysia menanggung kos sebanyak RM70 juta daripada keseluruhan anggaran kos penganjuran perlumbaan Formula 1 Gulf Air Bahrain Grand Prix in Malaysia 2026 di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) yang berjumlah RM350 juta, manakala baki selebihnya dibiayai oleh pihak Bahrain.

Menteri Belia dan Sukan,  YB Dr. Mohammed Taufiq Johari memaklumkan perbelanjaan Kerajaan Malaysia itu meliputi kos penyelenggaraan litar serta operasi di SIC, sementara jumlah keseluruhan RM350 juta tersebut merangkumi yuran hak penganjuran dan kerja-kerja persediaan litar.

“Dari aspek manfaat ekonomi, berdasarkan maklumat daripada Formula One Management (FOM), penganjuran Formula 1 berjaya menjana impak ekonomi hampir RM950 juta kepada negara,” menurut jawapan bertulis kementerian itu bagi sesi Pertanyaan Lisan di Dewan Rakyat, semalam.

Penjelasan tersebut diberikan bagi menjawab soalan Mohd Nazri Abu Hassan (PN-Merbok) yang meminta kementerian menyatakan jumlah kos sebenar ditanggung Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri Selangor dan agensi berkaitan, selain anggaran hasil langsung melalui cukai, fi dan sewaan.

Mengulas lanjut, kementerian itu menyatakan limpahan ekonomi hampir RM950 juta tersebut merangkumi pelbagai sektor utama termasuk perhotelan, pelancongan, penerbangan antarabangsa, pengangkutan, barangan dan perkhidmatan, makanan dan minuman, operasi litar serta program Litar Rasa MADANI.

Selain pulangan kewangan, penganjuran acara bertaraf dunia itu turut merancakkan pasaran buruh dengan mewujudkan kira-kira 7,300 peluang pekerjaan. Daripada jumlah itu, sebanyak 6,167 peluang pekerjaan dijana dalam sektor perniagaan dan perkhidmatan kepada pengunjung, 757 dalam operasi serta infrastruktur perlumbaan, manakala 376 lagi membabitkan pasukan perlumbaan, penaja dan operasi F1.

Kehadiran pengunjung tempatan serta antarabangsa turut membuka ruang kepada usahawan tempatan untuk menjana pendapatan melalui aktiviti perniagaan sepanjang acara berlangsung.

Menurut kementerian, penilaian terhadap hasil langsung kerajaan menerusi cukai, fi dan sewaan serta kos ditanggung Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri Selangor dan agensi berkaitan perlu dilihat secara holistik melalui laporan kajian impak ekonomi serta penilaian kos-faedah yang sedang dijalankan oleh SIC bersama firma perunding yang dilantik.

“Penilaian ini penting bagi memberikan gambaran yang lebih menyeluruh mengenai pulangan ekonomi dan manfaat keseluruhan penganjuran kepada negara. Dapatan penilaian tersebut juga akan menjadi antara asas pertimbangan Kerajaan dalam menilai kemampanan kewangan, pulangan ekonomi dan kesesuaian penganjuran Formula 1 di Malaysia pada masa hadapan,” jelas kenyataan itu lagi.