Satu sejarah penting negara terlakar apabila kereta GT berprestasi tinggi, Bufori Motors melancarkan model Bufori CS 8 buatan Malaysia sepenuhnya dilancarkan.
Pelancaran ini bertepatan dengan sambutan Hari Kebangsaan, menjadikan CS 8 bukan sekadar sebuah kereta mewah, tetapi juga lambang keupayaan dan kebanggaan negara dalam industri automotif global.
Baca Juga:
- Malaysia Cipta Sejarah, Perkenalkan Cip Pintar Buatan Tempatan, MARS1000

- Google Dijangka Sekat ‘Sideload’ Aplikasi Bermula 2026, Adakah Malaysia Termasuk Untuk Fasa Awal?

- ‘F1 Tidak Mungkin Kembali Ke Malaysia, MotoGP Lebih Diutamakan’ – SIC

Bufori CS 8 dibina berasaskan struktur monocoque carbon-kevlar, yang menawarkan nisbah kekuatan kepada berat luar biasa. Dengan berat hanya 1,550 kg, CS 8 mencapai keseimbangan antara ketegaran casis dan kelincahan pengendalian.

Dimensi keseluruhan mencatatkan panjang 4,568 mm, lebar 2,030 mm, tinggi 1,292 mm, dan jarak roda 2,609 mm.
Bahagian luaran menampilkan garis aerodinamik yang agresif, digabungkan dengan perincian moden seperti lampu LED penuh dan rim forged aloi bersaiz 19 inci yang dipadankan bersama tayar Michelin Pilot Sport 4S.
Jantung utama Bufori CS 8 ialah enjin 6.4-liter Supercharged HEMI V8. Ia menghasilkan kuasa maksimum 810 hp, 973 Nm tork, pecutan 0–100 km/j (3.0 saat) dan kelajuan maksimum: 330 km/j (dihadkan).
Kuasa disalurkan melalui transmisi AMT 6-kelajuan, memberikan kombinasi kelancaran dan responsif.
Sistem brek Brembo berprestasi tinggi digunakan, dengan cakera 380 mm di hadapan dan 350 mm di belakang, dilengkapi kaliper 6-piston dan 4-piston.

Dalam pada itu, Bufori Motors turut menawarkan beberapa pilihan enjin lain tanpa sebarang kos tambahan untuk dipilih para pelanggan; 6.4L NA V8 (475hp), 3.6L NA V6 (320 hp), 3.6L Supercharged V6 (455 hp) dan 3.0L Twin-Turbo Inline-6 (550 hp).
Kabinnya mengekalkan DNA Bufori yang terkenal dengan tahap pertukangan tangan tinggi. Ruang dalaman dihiasi kulit premium jahitan tangan, kemasan gentian karbon, serta tempat duduk Recaro elektrik 8-arah.
Sistem infotainmen disediakan melalui skrin potret 13.6 inci, menyokong Apple CarPlay, Android Auto serta sambungan Wi-Fi. Ciri tambahan termasuk sistem bunyi 6.1 surround, pengecas tanpa wayar, mood lighting, serta SmartTAG terbina.
Bufori CS 8 ambil masa 9,000 jam untuk dibina

Bufori CS 8 dilengkapi pelbagai rangkaian teknologi bantuan pemandu moden, ABS, ESC, TPMS, Adaptive Cruise Control, Blind Spot Monitoring & Lane Assist dan kamera 360-darjah.
Harga ditawarkan bermula RM2.188 juta (atas jalan, tanpa insurans) dan harga tersebut adalah sama bagi semua pilihan enjin.
Setiap unit Bufori CS 8 memerlukan lebih 9,000 jam kerja untuk disiapkan secara manual oleh kira-kira 150 tenaga kerja mahir di fasiliti Bufori di Kepong, Kuala Lumpur.
Tiada dua kereta yang akan dihasilkan dengan spesifikasi identik, kerana setiap pelanggan diberikan kebebasan penuh untuk melakukan penyesuaian mengikut cita rasa peribadi.