Malaysia telah mempertingkatkan usaha dan komitmennya dalam pemuliharaan biodiversiti serantau dengan mencalonkan tiga kawasan perlindungan sebagai Tapak Warisan ASEAN (ASEAN Heritage Sites, AHP).

Pencalonan itu dibuat semasa Mesyuarat Lembaga Pemegang Amanah ke-27 Pusat Biodiversiti ASEAN (ACB) yang berlangsung di Langkawi, petik The Sun.

Baca Juga:

Mesyuarat tersebut telah dipengerusikan oleh Penolong Setiausaha Jabatan Polisi, Perancangan dan Hal Ehwal Antarabangsa Alam Sekitar dan Sumber Asli Filipina, Jonas R. Leones selaku Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah ACB, bersama Setiausaha Bahagian Pengurusan Biodiversiti dan Perhutanan, Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES), S. Siva Kumar yang juga merupakan Timbalan Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah ACB.

Dalam satu kenyataan, NRES memaklumkan bahawa mesyuarat tersebut telah memutuskan untuk mencalonkan tiga kawasan sebagai Tapak Warisan ASEAN (AHP), iaitu Rizab Hidupan Liar Tengku Hassanal, Pahang; Taman Negara Bako dan Taman Negara Bukit Lambir, Sarawak.

Menurut NRES lagi, mesyuarat turut bersetuju untuk mencalonkan tiga tapak baharu di Vietnam, iaitu Taman Negara Xuan Thuy, Taman Negara Pu Mat dan Rizab Budaya dan Alam Semula Jadi Dong Nai.

“Selain itu, pelancaran inisiatif ‘Enhancing Conservation and Restoration of Wetlands and Peatlands in ASEAN’ (EnCORE Wetlands) turut diperkenalkan secara rasmi, dengan Taman Negara Maludam di Sarawak dipilih sebagai tapak perintis Malaysia bersama-sama dengan Agusan Marsh Wildlife Sanctuary di Filipina.

“Mesyuarat juga menyambut baik perumusan Pelan Biodiversiti ASEAN (ABP) 2024–2030 yang selaras dengan Rangka Kerja Biodiversiti Global Kunming-Montreal (KM-GBF),” menurut kenyataan NRES.

Sumber