Malaysia diramal bakal berdepan dengan dua cabaran cuaca besar secara berturut-turut; musim Monsun Timur Laut (MTL) terlebih dahulu, sebelum berisiko berdepan dengan impak fenomena Super El Nino pada awal tahun depan.
Meskipun status Super El Nino masih di peringkat jangkaan, kerajaan melalui pelbagai agensi berkaitan telah pun memperkukuh tahap kesiapsiagaan bagi menghadapi sebarang impak perubahan cuaca ekstrem ini, petik Buletin TV3.
Tindakan Berfasa Mengikut Data Terkini
Ketua Pengarah Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Meor Ismail Meor Akim, menjelaskan bahawa persediaan awal sedang rancak dijalankan oleh semua agensi. Bagaimanapun, pelan tindakan khusus hanya akan dipertingkatkan sebaik sahaja data dan unjuran cuaca terbaharu diperoleh.
“Semua agensi sedang bersedia untuk menghadapi apa sahaja kemungkinan. Bagaimanapun, perkara itu masih di peringkat jangkaan. Apabila semakin hampir, data akan menjadi lebih tepat dan mungkin kita akan panggil agensi berkaitan untuk tindakan seterusnya,” jelas beliau.
Beliau menambah, perancangan yang terlalu awal tanpa data tepat adalah kurang efektif. Ketepatan ramalan cuaca akan menjadi lebih jelas apabila tempoh fenomena tersebut semakin hampir, sekali gus membolehkan koordinasi agensi dibuat dengan lebih efisien.
Kenyataan itu diulas dalam sidang media Sesi Libat Urus Bersama Media: Kesiapsiagaan Kerajaan Menghadapi Monsun Barat Daya 2026 yang berlangsung di Markas Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART), Pulau Meranti. Sesi tersebut turut dihadiri oleh Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) MET Malaysia, Ambun Dindang, dan Ketua Pengarah JBPM, Datuk Seri Nor Hisham Mohammad.