Pasaran hartanah mewah Malaysia kini menarik minat individu kaya-raya dari China, dengan momentum dijangka terus meningkat sehingga tahun 2025 dan seterusnya.

Memetik The Sun, Malaysia kini berada di kedudukan keempat, di belakang Thailand, Australia dan Kanada, sebagai destinasi utama bagi pembeli kaya dari China yang mencari kediaman mewah bernilai RM22 juta ke atas.

Baca Juga:

Profesor Madya Ekonomi dan Kewangan Hartanah dari Universiti Teknologi Malaysia, Dr Muhammad Najib Razali, berkata asas ekonomi Malaysia yang kukuh termasuk pertumbuhan KDNK yang stabil, penggunaan domestik yang teguh serta sektor perkhidmatan yang dinamik telah menjadikan negara ini semakin menarik sebagai destinasi pelaburan.

Rumah Bermula RM22 Juta Jadi Buruan, Malaysia 'Hotspot' Orang Kaya Raya Dari China
Sumber Gambar: UEM Sunrise

“Pembangunan infrastruktur merupakan satu lagi pemacu utama yang menyokong unjuran positif. Projek seperti Tun Razak Exchange, yang bakal menjadi hab kewangan seterusnya di Asia Tenggara, serta penaiktarafan berterusan terhadap rangkaian pengangkutan dan kemudahan bandar, sedang mengubah Kuala Lumpur menjadi sebuah bandar global yang lebih berdaya saing,” katanya.

Beliau berkata lagi, cadangan projek kereta api laju ke Singapura, apabila dimuktamadkan kelak, akan meningkatkan integrasi serantau secara signifikan serta merangsang permintaan di Kuala Lumpur dan selatan Johor.

Muhammad Najib berkata, hartanah mewah di Malaysia menawarkan nilai terbaik antara yang tertinggi di Asia.

“Di Kuala Lumpur, kondominium mewah secara purata berharga antara RM1,900 hingga RM3,800 bagi setiap kaki persegi, dengan pembangunan paling premium mencecah RM5,700 — masih jauh lebih rendah berbanding bandar seperti Singapura atau Hong Kong.

“Sebagai contoh, sebanyak RM4.75 juta boleh mendapatkan hartanah seluas 1,500 hingga 2,000 kaki persegi di Kuala Lumpur, berbanding hanya sekitar 400 hingga 500 kaki persegi di Hong Kong,” jelasnya.

Orang kaya raya China tekankan sektor pendidikan

Pada masa sama beliau menyatakan sektor pendidikan yang kukuh di negara ini turut menjadi salah satu faktor penarik utama.

“Dengan lebih daripada 44,000 pelajar China yang kini berdaftar di institusi pendidikan Malaysia, keluarga sering melabur dalam hartanah berhampiran pusat pendidikan seperti Mont Kiara dan Subang Jaya.

“Pembeli-pembeli dari China ini melihat hartanah bukan sahaja sebagai tempat kediaman, tetapi juga sebagai aset jangka panjang yang berkaitan dengan pendidikan yang diiktiraf di peringkat global dan mudah diakses,” katanya lagi.

Rumah Bermula RM22 Juta Jadi Buruan, Malaysia 'Hotspot' Orang Kaya Raya Dari China
Sumber Gambar: Starproperty

Beliau berkata, permintaan amat tinggi di lokasi utama seperti Kuala Lumpur City Centre, Bangsar, Bukit Damansara dan Kenny Hills di mana kondominium mewah, vila, dan komuniti berpagar memenuhi jangkaan pembeli antarabangsa.

Muhammad Najib berkata, ejen hartanah yang mengkhususkan diri dalam segmen mewah melaporkan bukan sahaja peningkatan jumlah pertanyaan, tetapi lebih banyak juga pertanyaan yang menjadi pembelian.

“Sebagai contoh, kita nampak prospek datang melihat hartanah secara berkumpulan, di mana beberapa keluarga atau kumpulan pelabur bergerak bersama-sama, membuat keputusan dengan cepat apabila hartanah memenuhi semua kriteria mereka” ulasnya.

Kondominium bertingkat tinggi dan kediaman servis kini menjadi pilihan utama dalam kalangan golongan kaya dari China.

Rumah Bermula RM22 Juta Jadi Buruan, Malaysia 'Hotspot' Orang Kaya Raya Dari China
Sumber Gambar: Domusweb

Beliau berkata, walaupun Kuala Lumpur kekal sebagai tumpuan utama, minat juga semakin berkembang di Johor Bahru, terutamanya dalam projek berskala besar seperti Forest City.

“Orang kaya raya China melihat pasaran hartanah mewah Malaysia sebagai peluang ‘beli rendah sekarang, nilai meningkat kemudian’. Profil global negara ini semakin meningkat dengan projek mega, dan tawaran nilai di sini sukar ditandingi berbanding dengan bandar-bandar lain di Asia,” kata Muhammad Najib.

Tambahnya lagi, insentif kerajaan juga telah membantu meningkatkan minat, terutamanya program Malaysia My Second Home (MM2H), yang walaupun dengan syarat yang lebih ketat, terus menawarkan kediaman jangka panjang.

“Undang-undang pemilikan hartanah di Malaysia adalah agak mesra kepada warga asing. Hak milik kekal tersedia dalam banyak projek, berbeza dengan di Thailand atau Indonesia, di mana peraturan lebih ketat.

“Walaupun syarat baru MM2H, seperti pendapatan bulanan RM40,000 dan deposit tetap RM1 juta, pada mulanya menghalang sesetengah pihak, ia kini telah meletakkan Malaysia sebagai pilihan premium bagi pelabur serius yang mencari rumah kedua yang stabil.”

Sumber