Malaysia kini memegang rekod tertinggi di Asia dalam kes mangsa paling senang kena scam bagi kes penipuan dalam talian, dengan purata mangsa menjadi sasaran semula lebih daripada 2.5 kali, menurut Asia Scam Report 2024 yang dikeluarkan oleh Global Anti-Scam Alliance, lapor Malay Mail.
Laporan ini mendedahkan bahawa Hong Kong dan Thailand berada di tempat kedua dan ketiga, menjadikan Malaysia sebagai “juara” dalam statistik yang tidak membanggakan.

Ketua Kelestarian CelcomDigi, Philip Ling, menjelaskan bahawa terdapat dua isu utama yang membimbangkan, pertama adalah mangsa yang sering menjadi sasaran semula oleh scammer dan kedua adalah kebolehan mangsa untuk membezakan penipuan yang menggunakan teknologi AI sangat lemah.
“Masalah utama ialah mangsa tidak belajar daripada pengalaman. Mereka mudah diperdaya semula kerana tidak dapat membezakan sama ada individu yang menghubungi mereka adalah pihak berkuasa sebenar atau palsu,” katanya kepada media semasa sesi Anti-Scam Engagement Session, bertemakan “It’s a Matter of When” di Institut Penyiaran dan Penerangan Tun Abdul Razak (IPPTAR).
Ling turut menekankan bahawa kebanyakan mangsa penipuan tidak mendapat sistem sokongan yang mencukupi daripada keluarga atau masyarakat sekeliling.
“Mangsa sering kali rasa takut, malu, dan tidak tahu di mana mereka boleh mendapatkan bantuan. Ini menjadikan mereka lebih terdedah kepada serangan berulang,” tambah Ling.
Program ini melibatkan lebih 100 kakitangan dari agensi di bawah Kementerian Komunikasi seperti Jabatan Penerangan, Bernama, dan RTM.
Sesi ini bertujuan untuk menyebarkan maklumat dalam bahasa yang lebih mudah difahami oleh komuniti tempatan.
Abdul Wahid Abdul Mutallib, seorang peserta dari Bernama, menyifatkan program ini sebagai inisiatif yang sangat baik dan berharap ia diperluaskan kepada masyarakat umum.
“Program ini sangat bermanfaat kerana ia memberikan pendedahan baru kepada masyarakat, terutama dalam era AI. Saya sendiri banyak belajar perkara baru,” katanya.
Peserta lain, Mohd Salehuddin Mohd Kidin, turut berkongsi pandangan yang sama.
“Kursus seperti ini sangat penting untuk memberi pendedahan kepada orang ramai tentang bagaimana memastikan maklumat itu sahih sebelum membuat apa-apa transaksi dalam talian,” katanya.