Malaysia mengecam tindakan Isr*el yang didakwa memintas flotila bantuan kemanusiaan menuju ke Gaza serta menahan lebih 100 aktivis, termasuk 16 rakyat Malaysia yang menyertai misi tersebut.

Perkara itu ditegaskan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim atau PMX yang menyifatkan tindakan berkenaan sebagai satu perbuatan kurang ajar yang melanggar prinsip kemanusiaan dan undang-undang antarabangsa.

Menurut beliau, “rejim biadab Zi*nis Isra*l telah bertindak memintas flotila kemanusiaan G*za dan telah pun menahan lebih 100 orang aktivis termasuk 16 aktivis dari Malaysia yang terlibat dalam misi aman membela kemanusiaan sejagat.”

PMX berkata tindakan itu bukan sekadar menyasarkan usaha bantuan, malah menunjukkan sikap agresif terhadap gerakan kemanusiaan yang memperjuangkan nasib rakyat Palestin.

“Tindakan kurang ajar rejim jahat ini terhadap misi bantuan kemanusiaan ini bukan sahaja mencabuli hak asasi manusia dan undang-undang antarabangsa, malah memperlihatkan kerakusan rejim Zi*nis dalam menutup ruang bantuan, menyekat suara kemanusiaan dan menindas sesiapa sahaja yang bangkit mempertahan dan membela rakyat Palestin,” katanya.

Susulan itu, Malaysia menegaskan pendirian tegas dengan mengutuk tindakan tersebut dan mendesak jaminan keselamatan terhadap semua aktivis yang ditahan.

“Malaysia lantas mengecam sekeras-kerasnya tindakan tersebut dan menuntut jaminan keselamatan serta pembebasan segera kesemua aktivis yang ditahan,” ujar beliau lagi.

@501awani

Jumlah rakyat Malaysia yang menyertai misi kemanusiaan GSF 2.0 yang ditahan tentera Israel setakat ini telah meningkat kepada 16 orang. AWANI745 AWANInews

♬ original sound – 🇲🇾Astro AWANI🇲🇾 – 🇲🇾Astro AWANI🇲🇾

Dalam masa sama, PMX turut menegaskan masyarakat antarabangsa tidak boleh terus berdiam diri terhadap apa yang berlaku.

“Dunia tidak boleh terus tunduk kepada kezaliman dan kebobrokan. Penindasan ke atas warga Palestin dan kepada mereka yang menggerak serta membawa bantuan kemanusiaan mesti dihentikan segera, dan I*rael mesti berdepan keadilan dan pertanggungjawaban!”

Kenyataan itu hadir ketika konflik Gaza terus mendapat perhatian dunia, khususnya membabitkan isu akses bantuan kemanusiaan dan keselamatan sukarelawan antarabangsa yang terlibat dalam misi bantuan ke wilayah tersebut.