Berita baik buat semua peminat sukan permotoran tempatan! Litar Antarabangsa Petronas Sepang dipastikan akan terus bergema dengan deruman enjin jentera MotoGP.
Memetik laman rasmi MotoGP, Malaysia telah disahkan akan kekal berada dalam kalendar MotoGP bermula dari tahun 2027 sehingga 2031, berikutan kontrak baharu yang telah mendapat kelulusan daripada Kerajaan Malaysia.

Bagi yang mungkin belum tahu, Malaysia mula menjadi tuan rumah untuk sukan paling mendebarkan di dunia ini sejak tahun 1991 lagi, dan Litar Antarabangsa Petronas Sepang pula telah mengambil alih peranan sebagai penganjur sejak tahun 1999.
Kehadiran sukan ini terus berkembang pesat sehingga penganjuran Grand Prix Malaysia kini diiktiraf sebagai salah satu acara sukan terbesar di Asia Tenggara.
Mengulas mengenai berita gembira ini, Menteri Belia dan Sukan, YB Dr. Mohammed Taufiq Johari berkongsi pandangan beliau tentang kepentingan penganjuran ini kepada negara.
“Kami amat gembira kerana Kerajaan telah memberikan kelulusan penuh pada Mesyuarat Kabinet bertarikh 15 April 2026 untuk pembaharuan MotoGP Malaysia dari 2027 hingga 2031,” kata YB Dr. Mohammed Taufiq Johari. “Pembaharuan ini bukan sekadar memastikan tempat Malaysia di kalendar global MotoGP. Ia mencerminkan komitmen kita untuk memperkukuhkan kedudukan Malaysia sebagai destinasi utama sukan permotoran sambil mewujudkan peluang menerusi pertumbuhan ekonomi, pembangunan bakat, dan pengembangan industri.”
Beliau turut menambah, “Lebih penting lagi, MotoGP Malaysia telah menjadi platform yang menyatukan rakyat Malaysia, mengukuhkan rasa bangga kebangsaan kita dan terus kekal sebagai acara sukan antarabangsa paling lama bertahan di Malaysia sejak edisi pertamanya pada tahun 1991.”
Pihak MotoGP juga pastinya amat berbesar hati dengan penyambungan kontrak ini. Ketua Pegawai Eksekutif MotoGP, Carmelo Ezpeleta turut menyatakan penghargaan beliau terhadap sokongan luar biasa yang ditunjukkan oleh peminat di negara ini.
“Malaysia merupakan pasaran yang penting untuk MotoGP, di mana kami mempunyai pangkalan peminat yang kuat dan telah melihat kesan positif MotoGP terhadap ekonomi meningkat dari tahun ke tahun,” jelas beliau.
“Kini, kami menyasarkan untuk mengembangkan kedua-duanya secara eksponen. Sepang adalah ‘rumah’ yang luar biasa untuk sukan kami – dihubungkan dengan baik kepada salah sebuah bandar global dunia: Kuala Lumpur, yang juga merupakan bandar tuan rumah untuk Pelancaran Musim 2026 kami yang tidak dapat dilupakan.”
Jika kita lihat pada angka statistik, memang tidak dinafikan bahawa MotoGP mempunyai pengaruh yang besar di negara ini. Edisi tahun 2025 yang lalu telah mencatatkan jumlah kehadiran penonton tertinggi dalam sejarah penganjurannya, iaitu seramai 190,977 orang penonton. Malah, Pelancaran Musim MotoGP 2026 yang diadakan di tengah-tengah kota Kuala Lumpur baru-baru ini turut berjaya menarik puluhan ribu peminat.
Acara berprestij ini bukan sekadar satu sukan antarabangsa, tetapi ia juga bertindak sebagai pemacu utama ekonomi negara. Penganjurannya membuka pelbagai peluang pekerjaan, merancakkan lagi sektor pelancongan, dan menyumbang pendapatan yang besar kepada industri tempatan. Ia adalah satu pelaburan strategik yang memberikan pulangan ketara kepada ekonomi negara sambil membuka peluang yang lebih luas untuk bakat-bakat tempatan.
Jadi, bagi anda yang sudah tidak sabar untuk merasai sendiri kemeriahan perlumbaan ini, anda boleh mula merancang dari sekarang. Grand Prix MotoGP Malaysia 2026 dijadualkan bakal berlangsung dari 30 Oktober hingga 1 November 2026 di Litar Antarabangsa Petronas Sepang. Jom kita terus berikan sokongan padu kepada industri sukan permotoran negara!