Laporan Global Muslim Travel Index (GMTI) 2026 edisi ke-11 yang dikeluarkan oleh Mastercard dan CrescentRating telah menobatkan Malaysia sebagai Destinasi Mesra Muslim Utama bagi tahun ke-11 berturut-turut.

Dengan mencatatkan skor sebanyak 83, kejayaan ini didorong oleh kekuatan Malaysia yang konsisten dalam sektor pelancongan Halal, penyediaan perkhidmatan mesra Muslim, kempen pemasaran destinasi yang cemerlang, serta sokongan daripada agenda Tahun Melawat Malaysia 2026.

Indonesia semakin mengejar

Sementara itu, Indonesia turut mempamerkan prestasi memberangsangkan apabila naik tiga anak tangga untuk berkongsi kedudukan kedua bersama Türkiye dan Arab Saudi dengan skor 79, manakala Singapura terus unggul mengekalkan kedudukan pertama bagi destinasi bukan negara-negara OIC.

Satu penemuan utama yang mengubah landskap pelancongan tahun ini adalah anjakan besar ke arah penggunaan Kecerdasan Buatan (AI) dan kepercayaan digital.

80% pelancong bergantung saranan AI

Laporan tersebut mendedahkan bahawa 80% pelancong kini bergantung kepada alat AI untuk merancang, menilai, dan menguruskan perjalanan mereka.

Peralihan daripada pencarian aktif kepada pembuatan keputusan berbantukan AI ini bermaksud perkhidmatan mesra Muslim bukan sahaja perlu tersedia secara fizikal, malah ia wajib mempunyai ‘kebolehlihatan algoritma’ atau dapat dicari secara digital.

Alat AI kini membantu pelancong mencari pilihan makanan Halal, lokasi ruang solat, dan laluan pengangkutan dengan lebih yakin. Oleh itu, destinasi yang gagal mendigitalkan penawaran mesra Muslim mereka berisiko untuk dipinggirkan daripada sistem pengesyoran enjin carian masa hadapan.

Faktor ekonomi global

Selain itu, faktor ketidakstabilan global seperti peningkatan kos bahan api, ketegangan geopolitik, serta kebimbangan keselamatan turut merombak corak permintaan perjalanan.

Pelancong Muslim masa kini lebih cenderung memilih destinasi yang lebih dekat dan selamat, suatu trend baharu yang digelar sebagai mobiliti “benua-asal” (home-continent) di mana mereka lebih rela mengubah jadual perjalanan berbanding membatalkannya sepenuhnya.

Memandangkan trend ini semakin berkembang, Asia Tenggara telah diiktiraf sebagai koridor perjalanan utama bagi pelancong Muslim Asia untuk tahun 2026 berkat kedudukannya yang berhampiran dengan pasaran sumber utama, rantaian ekosistem Halal yang kukuh, serta hubungan udara yang baik.

Peluang cerah untuk Filipina

Potensi rantau ini terbukti apabila Mindanao di Filipina dinobatkan sebagai Rantau Mesra Muslim Paling Berpotensi (Bukan OIC), manakala Jawa Barat di Indonesia meraih anugerah yang sama bagi kategori negara OIC.

Bagi menilai kesediaan destinasi pada tahap yang lebih holistik, GMTI 2026 turut memperkenalkan model strategik baharu yang dikenali sebagai Destination Activation Stack.

Model perancangan ini menggabungkan tiga rangka kerja utama iaitu ACES (Akses, Komunikasi, Persekitaran, dan Perkhidmatan), RIDA (Bertanggungjawab, Imersif, Digital, dan Terjamin), serta TRUST yang menilai faktor keyakinan pelancong untuk membuat tempahan.

Melalui pendekatan pelbagai dimensi ini, sesebuah destinasi tidak lagi hanya dinilai berasaskan penyediaan fasiliti asas seperti makanan Halal dan surau, tetapi merangkumi kebolehcapaian perkhidmatan tersebut secara digital, kebolehpercayaan, tahap keselamatan, dan keterangkuman pengalaman pelancong secara keseluruhan.

Perubahan berstruktur ini penting untuk memastikan badan-badan pelancongan dapat membina daya tahan yang kompetitif serta menjamin keyakinan pasaran pada masa hadapan.

Sumber