Tahun 2023 merupakan tahun cemerlang bagi bola sepak negara apabila Malaysia mengalami kenaikan ranking Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) hingga ke 130 dunia dibawah kendalian jurulatih dari Korea Selatan, Kim Pan Gon.

Berdasarkan rekod, Malaysia hanya tewas sekali dalam 8 aksi persahabatan antarabangsa yang diaturkan sejak bulan Mac 2023.

Baca Juga:

Selain itu, Harimau Malaya turut mencatat keputusan seri menentang dua pasukan dalam kelompok ranking 100 teratas dunia iaitu China dan Syria.

Malah, kejayaan skuad Harimau Malaya menewaskan Kyrgyzstan 4-3 dan Chinese Taipei 1-0 ketika saingan Kelayakan Piala Dunia 2026 yang berlangsung pada November lepas turut membantu dalam kenaikan kedudukan ranking FIFA.

Hasil kemenangan ke atas dua pasukan tersebut menjadikan jumlah mata ranking yang dikutip pada bulan lepas ialah sebanyak +26.15.

Justeru itu, FIFA telah menyenaraikan Malaysia antara 10 pasukan yang mengalami peningkatan mata ranking terbanyak berdasarkan kiraan mata dikumpulkan sejak 2022.

Secara keseluruhan, Malaysia telah berjaya mengumpulkan sebanyak +56.27 mata sekaligus menjadi pasukan ketiga di dunia paling banyak meningkat dari segi mata ranking FIFA pada tahun 2023 di belakang Panama dan Moldova.

Ini adalah jumlah mata yang paling banyak dikutip oleh Malaysia berbanding negara lain di Asia menurut laman sesawang FIFA.

Bermula dengan ranking 154 dunia (1034.53 mata) pada bulan Februari 2022, Malaysia menamatkan tahun 2022 dengan 1066.60 mata hingga melonjak ke ranking 145 dunia.

Peningkatan itu diteruskan pada tahun 2023 dengan penambahan sebanyak +56.27 mata sehingga berada di ranking 130 dunia dengan jumlah keseluruhan 1122.87 mata.

Kemenangan dalam perlawanan Kelayakan Piala Dunia cukup penting kerana ia menawarkan mata ranking lebih besar daripada aksi persahabatan antarabangsa.

Malaysia juga berpotensi berada dalam kelompok ranking 120 dunia pada tahun 2024 jika konsisten mencatat keputusan positif.

Selain itu, aksi Piala Asia 2023 yang bakal berlangsung pada bulan Januari 2024 di Qatar juga merupakan peluang terbaik untuk mendaki lebih tinggi dalam kedudukan ranking FIFA kerana jumlah mata yang ditawarkan cukup banyak.

Kemudian, Harimau Malaya akan menyambung aksi Kelayakan Piala Dunia 2026/ Piala Asia 2027 bertemu Oman pada 21 Mac di tempat lawan sebelum bertemu pasukan sama di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 24 Mac 2024.