Bagi menambah baik proses siasatan kemalangan, Malaysia kini mulakan operasi kemudahan Makmal Forensik Kenderaan bawah CyberSecurity Malaysia (CSM).
Memetik Harian Metro, makmal yang pertama di negara ini boleh menganalisis data dalam perakam data kejadian (event data recorder), modul kawalan beg udara (airbag control module) dan sistem maklumat hiburan kenderaan (infotainment) untuk mengetahui situasi sebenar yang berlaku.
Baca Juga:

Menteri Digital, Gobind Singh Deo berkata, inisiatif oleh CSM itu dapat membantu semua pihak apabila berlaku sesuatu kemalangan.
Data yang diperoleh itu boleh dinilai dan diteliti di makmal, sekali gus membantu siasatan pihak berkuasa.
“Saya berasa kita semua tahu pentingnya data bila berlaku satu insiden yang memerlukan siasatan.

“Kedua, kita juga dapat melihat apakah sebenarnya yang telah membawa kepada insiden tersebut dan kita dapat mengambil langkah-langkah untuk kita cuba memastikan bahawa kekurangan-kekurangan yang wujud, yang telahpun membawa kepada kemalangan atau insiden tersebut dapat kita perbaiki.
“Kemudian, kita juga dapat mengumpul data terbabit untuk penilaian atau apa yang kita kata ‘predictive technologies’,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Makmal Forensik Kenderaan baru-baru ini.
CSM bekerjasama dengan penguatkuasa Malaysia

Memetik laporan itu lagi, CSM bekerjasama dengan pihak berkuasa, khususnya pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).
Pada masa sama makmal berkenaan juga menyokong siasatan forensik digital agensi penguatkuasaan undang-undang melalui bukti digital yang sahih dan berintegriti.
Tambahnya lagi, pihaknya juga sudah berbincang dengan pihak berkuasa dan mereka yang memerlukan kerjasama CSM untuk memudahcarakan siasatan dalam mencari penyelesaian.
