Malaysia dijangka akan memulakan prosedur rasmi untuk sertai organisasi antara kerajaan BRICS (Brazil, Russia, India, China, dan Afrika Selatan) dalam masa terdekat, menurut kenyataan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Kami telah mengambil keputusan yang sewajarnya. Kami akan melancarkan proses rasmi tidak lama lagi. Sekarang kami menunggu keputusan akhir dan maklum balas daripada kerajaan Afrika Selatan,” kata Anwar dalam satu temu bual bersama Guancha, syarikat penerbitan berpangkalan di Shanghai, China, lapor Berita Harian.

Taobao
HYPE
Raya Extra Meriah! 5 Dekorasi DIY Dari Taobao Wajib Ada Untuk Rumah Anda!
Baca lagi →

Anwar turut mendedahkan bahawa beliau sebelum ini telah mengadakan perbincangan mengenai pengembangan BRICS dengan Presiden Brazil, Luiz Inacio Lula da Silva.

Kumpulan BRICS yang ditubuhkan pada tahun 2006, telah menyaksikan dua gelombang pengembangan sejak penubuhannya.

Pada 2011, Afrika Selatan menyertai ahli asal BRICS yang terdiri daripada Brazil, Rusia, India, dan China.

Pada Ogos 2023, enam ahli baharu telah dijemput untuk menyertai BRICS, termasuk Argentina.

Namun, Buenos Aires menukar fikiran pada akhir Disember tahun lalu.

Lima ahli baharu iaitu Mesir, Iran, UAE, Arab Saudi, dan Ethiopia secara rasmi menyertai kumpulan itu pada 1 Januari 2024.

Apa itu BRICS dan apa misinya?

Menurut BBC, BRICS adalah singkatan dari Brazil, Rusia, India, China, dan Afrika Selatan, dimulakan oleh Rusia dan ditubuhkan oleh Goldman Sachs, Jim O’Neill pada tahun 2001.

Menurut laman Investopedia, O’Neill yakin bahawa blok negara BRICS akan mendominasi ekonomi global pada tahun 2050.

Negara-negara anggota BRICS kini terdiri daripada Brazil, Rusia, India, China, Afrika Selatan, Arab Saudi, Iran, UAE, Ethiopia, dan Mesir.

Keanggotaan BRICS telah bertambah dua kali ganda, dengan negara-negara ini menyumbang lebih daripada 40% populasi dunia dan seperempat daripada ekonomi global.

BRICS berfungsi sebagai organisasi yang bertujuan untuk memajukan kerjasama ekonomi antara negara anggota serta meningkatkan kedudukan ekonomi dan politik mereka di peringkat global.

Selain itu, BRICS juga beraspirasi untuk mewujudkan dunia yang lebih adil dalam aspek ekonomi dan kewangan global yang kini didominasi oleh negara maju terutamanya Amerika Syarikat, International Monetary Fund (IMF), dan Bank Dunia.

Berbeza dengan organisasi seperti PBB, Bank Dunia, atau OPEC, BRICS beroperasi berdasarkan muafakat dan pemimpin negara anggota akan bertemu setiap tahun untuk mengambil alih kepemimpinan bergilir selama satu tahun.

Lebih daripada 40 negara, termasuk Iran, Arab Saudi, UAE, Argentina, Aljazair, Bolivia, Indonesia, Mesir, Ethiopia, Kuba, Republik Demokratik Kongo, Komoro, Gabon, dan Kazakhstan, telah menyatakan minat untuk menyertai BRICS.

Negara-negara ini memandang BRICS sebagai alternatif terhadap badan-badan global yang didominasi oleh kuasa tradisional Barat serta mengharapkan manfaat seperti dana pembangunan, peningkatan perdagangan, dan pelaburan.

Ketidakpuasan terhadap sistem global di kalangan negara-negara berkembang diperburuk oleh pandemik Covid-19 apabila vaksin banyak direbut oleh negara-negara kaya.

Sebelum ini, Argentina juga diundang untuk menjadi anggota BRICS, namun Presiden Argentina, Javier Milei, yang baru menjawat pada 10 Disember 2023, telah membatalkan tawaran keanggotaan tersebut.

Dengan langkah Malaysia yang bakal sertai BRICS, diharapkan kerjasama ekonomi dan politik negara akan diperkukuhkan, serta memberi peluang baharu dalam arena antarabangsa.