Malaysia menjadi negara tumpuan pelancong di Asia Tenggara selepas mencatatkan kehadiran pengembara luar negara tertinggi di rantau ini.

Menerusi laporan seasia.stats baru-baru ini, ia melaporkan bahawa Malaysia merekodkan 26 juta ketibaan pelancong antarabangsa dari Januari hingga November 2023 sahaja.

Baca Juga:

Ini meletakkan Malaysia di hadapan berbanding jiran kita Thailand yang mencatatkan 24.6 juta dan Singapura hanya 11.3 juta pelancong. Vietnam dan Indonesia pula masing-masing berada di tangga ke 4 dan 5.

Memetik sumber daripada statistik rasmi daripada setiap kementerian pelancongan perihal ketibaan pelancong asing di negara masing-masing, Malaysia mengatasi Thailand sebanyak 1.4 juta ketibaan pelancong dalam tempoh yang sama.

Menariknya, lebih 3.8 juta daripada 24.6 juta ketibaan pelancong antarabangsa di Thailand dari Januari hingga November 2023 adalah rakyat Malaysia.

Bagaimanapun, statistik ini dikatakan tidak rasmi kerana kebanyakan negara tidak mengeluarkan data pelancong antarabangsa sehingga November 2023.

Sebagai contoh, kementerian pelancongan rasmi Singapura, Indonesia dan Kemboja hanya mengeluarkan statistik sehingga Oktober 2023, manakala Laos hanya mengeluarkan data sehingga September 2023 dan Myanmar sehingga Ogos 2023. Selain itu, Brunei dan Timor-Leste pula tidak mengeluarkan sebarang statistik mengenai pelancongan antarabangsa.