Sekurang-kurangnya tujuh kapal milik Malaysia bakal belayar dengan selamat melalui Selat Hormuz dalam masa beberapa hari lagi meskipun ketegangan semakin memuncak di rantau tersebut, susulan jaminan daripada pihak Iran.

Duta Iran ke Malaysia, Valiollah Mohammadi Nasrabadi berkata Tehran telah dimaklumkan mengenai kehadiran kapal-kapal berkenaan di Teluk Parsi dan niat mereka untuk melalui laluan air strategik itu.

“Kami menerima maklumat daripada Menteri Luar Malaysia bahawa beberapa buah kapal Malaysia berada di Teluk Parsi dan mahu melaluinya.

“Kami telah mempertimbangkan perkara ini, dan InshaAllah mereka akan dapat melaluinya. Tiada masalah kerana Malaysia adalah sebuah negara yang mesra, dan negara-negara mesra boleh menggunakan selat tersebut,” katanya dalam satu temu bual eksklusif bersama New Straits Times di Kedutaan Iran di sini, semalam.

Ditanya sama ada kapal-kapal Malaysia akan dikenakan caj tol, Valiollah berkata mereka akan dibenarkan untuk merentasi selat itu secara percuma.

“Tentu sekali (kapal Malaysia bebas untuk lalu). Kami tidak akan mengenakan sebarang caj,” tambah beliau.

Iran tidak pernah tutup Selat Hormuz

Memetik laporan itu lagi, Valiollah berkata Selat Hormuz kekal terbuka kepada perkapalan antarabangsa, sambil menyifatkan sekatan terpilih tersebut sebagai tindak balas yang sah di sisi undang-undang terhadap serangan baru-baru ini, sekali gus menepis dakwaan mengenai penutupan sepenuhnya laluan itu.

Beliau berkata akses ke laluan air strategik itu sedang disekat secara terpilih, dengan negara-negara yang terlibat dalam atau menyokong serangan terhadap Iran dilarang melaluinya.

Iran terus membenarkan laluan bagi negara-negara mesra, tertakluk kepada penyelarasan dengan pihak berkuasanya, tambah beliau.

Beliau menegaskan bahawa langkah itu bukanlah satu penutupan selat, sebaliknya merupakan tindak balas bersasarkan undang-undang antarabangsa.

“Saya ingin menegaskan: Selat Hormuz tidak ditutup. Ia disekat untuk sesetengah pihak, bukan semua.

“Jika anda menyerang Iran, anda tidak boleh menggunakan selat ini. Tetapi kami tidak menutupnya.

“Tetapi sekarang ia berbeza. Jika seseorang menyerang rumah anda dan kemudian mahu menggunakan selat anda, anda akan katakan tidak (tidak boleh gunakan selat berkenaan),” jelas beliau.