Boleh dikatakan majoriti besar rakyat Malaysia masih kurang cakna berkaitan pengurusan kewangan yang bagus mampu menjamin sekuriti kelangsungan hidup yang cerah di kemudian hari.
Pada masa kini, orang ramai lebih selesa membelanjakan kesemua wang untuk benda mewah demi mendapat pujian ramai dan dipandang tinggi.

Inilah realiti yang terjadi kepada sejumlah kakitangan yang dilaporkan mengalami bankrap dek kerana membuat pinjaman berlebihan dari kemampuan sebenar.
Desakan status sosial jadi punca
Desakan untuk menunjuk status sosial antara punca ramai kakitangan awam semua peringkat membuat pinjaman kewangan berlebihan sehingga mereka bankrap, kata Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar kepada Berita Harian.

“Terdapat kakitangan awam dianugerahkan kemahiran menguruskan berjuta ringgit wang kerajaan, namun dia tidak mampu menguruskan wang sendiri sehingga terpaksa membuat pinjaman.
“Kita sepatutnya hidup atas kemampuan kita, kalau kita mampu pakai telefon bimbit jenama Xiaomi, jangan cuba pakai iPhone.
“Terdapat kakitangan awam yang suka bermewah dari segi penampilan, sebagai contoh sekiranya mereka mampu memiliki kereta Perodua Myvi, janganlah cuba pakai Toyota Vios,” katanya lagi.
Oleh itu, beliau menasihati kepada kakitangan awam agar berbelanja mengikut kemampuan sendiri.
Kongsinya lagi, peraturan sedia ada menetapkan had potongan gaji untuk pinjaman pada 40 peratus, kecuali bagi tujuan haji dan pembelian rumah. Jika peraturan ini dipatuhi, risiko kebankrapan dapat dikurangkan.
Demi membendung isu terbabit, wujud arahan telah dikeluarkan pada ketua jabatan, mereka perlu menghantar kakitangan yang berhadapan masalah kewangan mendapat khidmat kaunseling dengan Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK).