Calon presiden Barcelona, Victor Font mendedahkan bahawa telah mengadakan perbincangan dengan legenda kelab, Lionel Messi berhubung potensi kepulangan ke Camp Nou sekiranya beliau memenangi pilihan raya.

Font berkata beliau mahu memberikan peluang kepada Messi untuk mengucapkan selamat tinggal kepada FC Barcelona “dalam apa jua cara yang dipilihnya”.

Selain itu turut bersedia menawarkan peranan sebagai presiden kehormat kelab kepada ikon Argentina itu.

Musim pilihan raya kini semakin hangat di Barcelona, dengan para calon giat berkempen menjelang undian besar bulan depan.

Font dilihat sebagai pencabar terkuat Joan Laporta dalam perebutan jawatan presiden Barcelona dan beliau secara konsisten menyuarakan hasrat untuk membawa Messi kembali ke kelab bagi satu penghormatan buatnya.

Messi
Kredit Foto: CHANDAN KHANNA / AFP

Ini Janji Victor Font

Victor Font kini mendakwa beliau telah berbincang dengan Messi mengenai kepulangan ke Barcelona, selain mendedahkan bahawa mereka sudah merangka satu projek bagi memujuk legenda kelab itu kembali sejak empat tahun lalu.

“Ya, kami telah bercakap secara langsung dengan Messi dan individu terdekat dengannya,” ujar Victor Font menurut sumber laporan Goal.

“Perbincangan ini bersifat peribadi, dan kami sentiasa berpendirian bahawa tiada siapa patut menggunakan Messi untuk tujuan pilihan raya.”

“Tanggungjawab kami adalah untuk menjelaskan apa yang telah kami sediakan dan, jika kami menang, memuktamadkan perjanjian terbaik buat beliau dan kelab.”

“Sejak 2022, kami telah mengusahakan satu projek untuk membawa Messi kembali ke Barça selepas Piala Dunia, didorong oleh semangat beliau dan Xavi Hernandez.”

Jordi Alba
Kredit Foto: Rich Storry / GETTY IMAGES NORTH AMERICA / Getty Images via AFP

“Cadangan itu mempunyai tiga teras utama: Pertama, dari sudut institusi agar beliau menerima jawatan presiden kehormat.”

“Kedua, dari sudut komersial diinspirasikan oleh kerjasama seperti Jordan-Nike atau Federer-On, yang berpotensi menjana pendapatan besar serta memanfaatkan pegangan minoritinya dalam Inter Miami CF bagi mengukuhkan pengaruhnya di pasaran Amerika.”

“Ketiga, dari sudut sukan supaya beliau dapat mengucapkan selamat tinggal kepada FC Barcelona dan Camp Nou dengan cara yang dipilihnya sendiri, sama ada dengan bermain atau melalui satu majlis penghormatan khas.”

“Pencalonan kami bertujuan untuk memprofesionalkan dan memodenkan kelab, dengan mengintegrasikan pelbagai kumpulan serta melindungi institusi daripada risiko, khususnya risiko kewangan, demi memperkukuhkan projek sukan, melangsaikan hutang dan membangunkan program sosial yang lebih berwawasan,” tambah beliau lagi.

 

Sumber