Juara dunia 10 kali, Marc Marquez mengumumkan persaraannya daripada saingan MotoGP berkuat kuasa serta-merta selepas Grand Prix Valencia hujung minggu ini.
Pelumba pasukan Ducati Lenovo itu membuat pengumuman mengejut berkenaan hanya beberapa minit sebelum sesi latihan bebas pertama bagi Grand Prix Valencia bermula hari ini.

Marquez sebenarnya masih mempunyai kontrak sah selama dua tahun bersama Ducati bagi musim 2027 dan 2028 selepas bersetuju melanjutkan kontraknya susulan kejayaan menjuarai kejuaraan dunia pada 2025.
Namun, pengumuman rasmi yang dikeluarkan laman sosial Ducati Corse itu mengesahkan bahawa GP Valencia bakal menjadi aksi terakhir pelumba berusia 33 tahun tersebut.
Marc Marquez Umum Persaraan
“Ia sudah rasmi!”
“Marc Marquez membuat keputusan untuk bersara daripada saingan MotoGP, dengan Grand Prix Valencia 2026 menjadi perlumbaan terakhirnya sebagai pelumba profesional selain penampilan terakhir bersama pasukan Ducati Lenovo.”
Selain itu, Marquez turut memberikan mesej tersebut sebelum bermulanya sesi latihan bebas.
“Terima kasih kepada semua yang telah menjadi sebahagian daripada perjalanan ini. Saya berharap anda semua menikmatinya sama seperti saya. Ini akan menjadi perlumbaan terakhir saya dalam MotoGP. Kita telah mencipta sejarah,” kata Marquez menerusi satu kenyataan video di garaj pasukan di Valencia.
Karier Marquez hampir berakhir selepas mengalami kemalangan ngeri ketika terjatuh pada kelajuan tinggi (highside) pada pusingan pembukaan musim 2020 di Jerez.
Usaha untuk kembali beraksi seminggu kemudian di litar sama bagaimanapun hanya memburukkan lagi kecederaan yang dialaminya.
Marquez memerlukan empat kali pembedahan dan tempoh lima tahun sebelum berjaya kembali menjulang gelaran dunia. Kejayaan meraih kejuaraan pada 2025 sekali gus melengkapkan antara kisah kebangkitan paling luar biasa dalam sejarah sukan.
Bagaimanapun, hanya seminggu selepas meraikan kejayaan menjuarai kejuaraan dunia di Jepun tahun lalu, Marquez sekali lagi mengalami kecederaan selepas dilanggar pelumba lain sejurus perlumbaan Grand Prix Indonesia bermula.

Marquez terpaksa memberikan aksi luar biasa bagi menyesuaikan diri dengan keterbatasan fizikal baharu yang dihadapinya musim ini.
Beliau turut mengetepikan segala gangguan di luar litar untuk bangkit mengatasi jurang 102 mata yang memisahkannya daripada dua pelumba Aprilia, Marco Bezzecchi dan Jorge Martin, dalam perebutan kejuaraan dunia musim ini.