Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) kini berada di fasa akhir dalam menilai tiga hibrid durian baharu sebelum diperkenalkan sebagai varieti premium pasaran.
Langkah ini diambil bagi memenuhi permintaan tinggi daripada pengguna dan pemain industri, petik Berita Harian.
Menurut Ketua Pengarah MARDI, Datuk Dr. Mohamad Zabawi Abdul Ghani, kesemua hibrid tersebut sedang diuji secara teliti bagi menjamin kualiti buah, daya tarikan kepada pengguna, serta keupayaannya untuk ditanam secara komersial oleh para petani.
Pokok Durian Hibrid Sudah Matang
“Kita ada kira-kira tiga hibrid yang sedang dalam ‘pipeline‘.
“Pokoknya sudah matang, namun kita mahu memastikan hasil pengeluaran mencukupi sebelum diisytiharkan sebagai klon baharu.
“Kita tidak mahu melancarkan varieti baharu sekiranya pengeluaran buah masih terhad kerana orang ramai juga mahu merasai sendiri buah berkenaan,” katanya ketika Program Duriotourism MARDI Kuala Kangsar bersama media di Taman Agroteknologi MARDI Kuala Kangsar baru-baru ini.