Hanya beberapa hari selepas mengumumkan kehadiran Hansi Flick bagi menggantikan Xavi Hernandez, Barcelona sudah berdepan masalah berikutan kemelut kewangan pasukan.
Berikutan masalah tersebut, The Blaugrana dikatakan bergelut untuk mendaftarkan pengurus baharu itu bersama barisan kejurulatihannya.
Baca Juga:
- Hansi Flick Sah Bergelar Pengurus Barcelona
- Xavi Nasihati Bakal Pengurus Barcelona, ‘Anda Akan Menderita’
- Presiden LaLiga Tak Bimbang Dengan Masalah Kewangan Barcelona
Perkembangan terkini mengenai perkara tersebut disahkan sumber laporan media Sepanyol, Marca.
Isu kewangan yang kian meruncing dihadapi Barcelona bukan lagi rahsia buat semua sejak beberapa musim kebelakangan ini dan terbaharu, mereka masih tidak dapat untuk mendaftarkan pengendali kelahiran Jerman itu.
Ia bagaimanapun bukanlah perkara baharu buat Barcelona kerana pada musim lalu beberapa pemain agak lambat untuk didaftarkan hingga ada yang tidak memiliki nombor jersi walaupun sudah ditandatangani kelab itu.
Dalam usaha meringankan beban tersebut, Barcelona telah menjual 49 peratus pegangan saham Barca Studios kepada firma pelaburan dari Jerman, Libero dengan nilai £85.5 juta.
Namun, selepas beberapa kali kelewatan daripada Libero, tarikh akhir pembayaran telah berlalu tanpa dana dipindahkan oleh firma tersebut.
Barcelona juga masih menunggu kesepakatan bersama jenama sukan tersohor, Nike untuk memberikan suntikan dana tambahan.
Pembayaran melibatkan Libero dan Nike itu sangat diperlukan oleh Barcelona dalam usaha mereka untuk mendaftarkan Flick, barisan kejurulatihan dan pemain baharu.
Dalam masa sama, untuk mematuhi peraturan kewangan LaLiga, Barcelona juga mesti mengurangkan bil gaji mereka. Keperluan ini menambah satu lagi kerumitan kepada situasi yang sudah sedia mencabar buat Barcelona.
Tidak hairanlah Xavi memberikan nasihat ikhlas kepada pengendali baharu Barcelona bahawa sesiapa sahaja yang menjadi penggantinya, individu tersebut akan ‘merana’.
Bukan hanya tekanan ketika membimbing pasukan tetapi masalah kewangan yang kian meruncing juga pastinya menjadi faktor nasihat itu diberikan.